
PUM Selangor telah menyertai Program Ziarah dan Seminar Pemikiran Islam Walisongo di Surabaya pada 1 Oktober hingga 3 Oktober 2010 yang dianjurkan oleh Integrated Muslim Associations Network Selangor (IMAN). Berikut adalah catatan diari lengkap yang telah disediakan wakil PUM Selangor iaitu Ust Rumaizi bin Ahmad.
HARI PERTAMA 1 OKTOBER 2010
8:20 - Check in secara group di LCCT. Sarapan pagi secara fardi. Berkumpul di lobi untuk taklimat ringkas daripada ketua rombongan Tn.Hj.Nik Mohd. Yusoff bin Ismail (Pak Nik) yang juga Yang Dipertua IMAN.
0:20
Berlepas ke Surabaya dengan pesawat AK 517 Air Asia. Perjalanan selama hampir 2 jam. Tiba di Bandara Internasional (LTAB) Juanda pada jam 12:20 waktu Malaysia bersamaan 11:20 WIB (Waktu Indonesia Barat).
13:00 - Selesai melepasi pemeriksaan imigrasi Indonesia. Menunggu di luar pemandu pelancong Pak Suryono. Kami terus di bawa untuk makan tengaharai di Restoran Primarasa.
Selepas makan tengahari kami terus di bawa ke toko buku tersohor di Indonesia GRAMEDIA. Sempat membeli beberapa buah buku dan majalah terutamanya majalah yang mengandungi kritik terhadap ESQ 165 yang menjadi isu di Malaysia.
Kemudian berkunjung ke gedung jualan batik Indonesia. Sembahyang jamak qasar asar dan zohor di ruang solat di gedung tersebut.
19:00 - Sampai di Masjid Agung Sunan Ampel bertepatan dengan waktu maghrib. Solat maghrib berimamkan Imam Masjid Agung Sunan Ampel sebelum menjamak qasarkan isya seepasnya.
Selesai solat ziarah ke makam Sunan Ampel yang turut mengandungi makam Kiyai Sonhaji yang juga dikenali sebagai Mbah Bolong kerana melubangi Masjid Ampel bagi menentukan ketepatan arah kiblatnya masjid melalui karamahnya. Kelihatan ramai penziarah makam dengan samada secara individu atau rombongan besar dikepalai oleh ketua masing-masing yang membacakan yasin, tahlil dan pelbagai bentuk doa dan wirid. Gambar foto dalam kawasan permakaman adalah dilarang.
Setelah itu mengunjungi sekitar Arab Street, tempat menjual pelbagai barangan cenderamata, pakaian taqwa ( busana muslim), makanan dan pelbagai keperluan. Kawasan niaga tersebut terletak di sisi Masjid Agung Sunan Ampel.
Setelah itu makan malam masakan Minang di restoran Bundo Sati.
Selesai makan malam kami mendaftar masuk di Hotel Ibis Rajawali pada lebih kurang jam 22:00. Masuk ke hotal kami pun berehat untuk acara besok pagi.
HARI KEDUA - 2 OKTOBER 2010.

7:00 - Sarapan pagi di hotel. Sajian sederhana dengan nasi goreng, mi goreng, pecal, sosej, roti, pelbagai jenis kek, daging panggang, salad, bubur nasi dan sup kosong, jus buah , kopi dan teh. Yang pastinya tidak ketinggalan ialah tempe.
8:30 - Kami menuju ke Tuban, tempat persemadian Sunan Bonang. Ia antara makam yang paling jauh dan untuk ke sana melalui lebuhraya tol. Bas diparkir di tempat khas kira-kira 1 km dari kawasan makam. Untuk ke kawasan makam kami akan menaiki beca. Ia diatur sedemikian oleh pihak pemerintah untuk memberi peluang pekerjaan kepada penarik beca.
Sama seperti makam Sunan Ampel, makam ini sentiasa dipenuhi oleh para penziarah dengan kegiatan yang sama. Kawasan makam sedang dibugar dan beberapa kubur lama sedang dipindahkan untuk pembesaran kawasan. Berbeza dengan makan Sunan Ampel, kami boleh mengambil gambar foto di kawasan permakaman ini.
Selesai ziarah makam, kami makan tengahari di sebuah restoran yang terletak di kawasan niaga yang memenuhi sepanjang jalan masuk ke makam. Makanan yang dihidangkan adalah asli masakan Jawa.
Setelah itu rombongan menuju ke permakaman Sunan Derajat. Ia merupakan satu kawasan permakaman lama dengan banyak binaannya terbuat daripada kayu. Masjid Sunan Drajat juga diperbuat daripada kayu. Selain itu di kawasan permakaman ini terdapat telaga Sunan Derajat dan Muzium Sunan Drajat yang mempamerkan artifak tinggalan mereka. Sebagaimana makam yang lain, ramai para penziarah yang datang dengan amalan masing-masing.
Selain menziarahi makam dan melawat muzium, kami solat jamak dan qasar zuhur dan asar di Masjid Sunan Drajat.
Kemudian rombongan menuju ke Gresik untuk menziarahi makam Syeikh Maulana Malik Ibrahim yang merupakan pangkal bagi segala wali. Kawasan permakaman ini merupakan kawasan yang paling tua dan paling klasik terutama kawasan permakaman Kiyai Tumenggung Puspo Negoro, Bupati pertama .Gresik.
Sebagaimana makam-makam lain , makam ini juga dipenuhi oleh para penziarah. Nesan pada makam Maulana Malik Inrahim ini mempunyai pengaruh Arab-India. Semasa berada di kawasan permakaman Kiyai Tumenggung Puspo Negoro terasa kembali ke 600 tahun yang silam dengan gaya makam yang sangat purba dan klasik dengan batu-batu nisan yang tidak lagi digunakan pada masa kini.
Setelah itu kami bergerak menuju ke Giri untuk menziarahi makam Sunan Giri yang terletak di atas sebuah bukit. Sebagai tarikan kepada pelancong, bas-bas pelancong diparkir di satu tempat yang jauhnya lebih kurang 3 km daripada kawasan makam. Kami akan ke sana dengan menaiki samada motorsikal ataupun kereta kuda yang disebut sebagai dokar.
Sampai di kawasan makam, kami terpaksa memanjat tangga yang tinggi untuk naik bukit menuju Masjid Sunan Giri. Setelah selesai sembahyang Maghrib, kami menziarahi makam Sunan Giri yang terletak di sebelah masjid. Setelah itu kami pulang ke hotel.

HARI KETIGA 3 OKTOBER 2010.
Pada hari ini, kami ke Gedung Dakwah Al-Hilal, markas besar Dewan Dakwah Indonesia (DDI) Wilayah Jawa Timur untuk program Seminar membedah Pemikiran Walisongo. Ketibaan rombongan kami disambut oleh pimpinan DDI Wilayah Jawa Timur, Surabaya. Program seminar ini sepatutnya di rasmikan oleh Bapak Timbalan Gubernur Surabaya, tetapi atas sebab yang tidak terelakkan beliau tidak dapat hadir.
Kertas-kertas kerja seminar telah dinentangkan oleh;
1. PROF.MADYA DR. AHMAD ZAKI BIN HJ.ABD.LATIF - Wakil IMAN dari CITU, UiTM.
2. H.ALI MUFRODI – dari IAIN Sunan Ampel, Surabaya.
3. H. AMINUDIN KASDI – Pakar sejarah terutama dalam kajian tentang walisongo dari Universiti Negeri Surabaya.
4. TN. HJ. NIK MOHD YUSOFF BIN NIK ISMAIL – Wakil IMAN dari WADAH.
5. ADE SALAMUN – Pengarah Eksekutif LAZIS (Lembaga Zakat, Infaq dan Sedekah) Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDI) – yang menerangkan peranan dan info gerakerja LAZIS serta pengutusan da’i ke kawasan pedalaman oleh penuntut tajaan LAZIS.
Pada dasarnya kesemua kertas kerja yang dibentangkan membincangkan ; 1. Sejarah walisongo, 2. Pendekatan Dakwah Walisongo, 3. Akulturasi dan Sinkretisme dalam perkembangan dakwah walisongo.
Ketibaan kami disambut oleh pihak pengurusan Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia Wilayah Jawa Timur.
Selesai seminar, kami telah dibawa ke Sidoarjo, sebuah bandar yang terdapat pabrik industri berasaskan kulit. Dalam perjalanan ke kawasan perusahaan kulit kami melalui perkampungan yang ditenggelami oleh lumpur dan lahar.
Setelah itu kami pun berangkat ke Bandara Juanda untuk daftar masuk ke penerbangan pulang ke Malaysia. kami tiba di LCCT Sepang pada jam 12.00 malam.






























