PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Saturday, May 19th

Last update08:19:51 PM GMT

You are here: Program Seminar & Konvensyen RESOLUSI SEMINAR BALDATIN TAYYIBAH : MODEL ANDALUSIA 1430

RESOLUSI SEMINAR BALDATIN TAYYIBAH : MODEL ANDALUSIA 1430

  • PDF

 Menyedari keperluan membina sebuah negara maju adalah tuntutan murni yang dicita-citakan oleh rakyat Selangor khasnya dan Malaysia amnya, seminar pada hari ini merumuskan;

1. Pembinaan negara maju hendaklah berteraskan kepada al-Quran dan al-Sunnah serta nilai-nilai asas universal yang baik yang tidak bertentang dengan keduanya agar sesuai dengan konsep Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Rasulallah SAW bersabda : Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya (Sahih: Dikeluarkan oleh Malik bin Anas dalam al-Muwattha' - no: 1619)

 

2. Menerima dan memperkukuhkan institusi Kesultanan Melayu, kepimpinan umat Islam, kedudukan Bahasa Melayu dan Agama Islam sebagai teras pembentukan Selangor maju di samping memberikan kebebasan kepada rakyat pelbagai kaum, etnik dan agama mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing dalam ruang lingkup keadilan dan kedaulatan undang-undang serta perlembagaan.

 

Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang Yang beriman, Yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).Surah Al-Maidah : 55.

3. Menyuburkan dan meluaskan dialog dan perbincangan antara kaum dan agama demi memupuk toleransi bermasyarakat atas asas kesefahaman, keharmonian dan saling hormat-menghormati bagi mensifarkan sentimen kepuakan yang boleh menimbulkan kegusaran hidup bermasyarakat.

Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa“.Al-Hujurat ayat 13 “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu,dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. ( Al-Mumtahanah, 8 )

4. Menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang serta menolak sebarang bentuk kezaliman dan penyalahgunaan kuasa di semua peringkat sesuai dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah.

 

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukuman di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil“.An-Nisa’ ayat 58.

5. Menggalak, menyubur dan mengukuhkan institusi ilmu pengetahuan, perbincangan ilmiah, wacana-wacana akademik dan dakwah Islamiah serta mengangkat martabat ilmuan khususnya ulama dan cendekiawan di semua peringkat serta mendekatkan mereka dengan institusi pemerintah sebagaimana yang berlaku dalam sejarah tamadun Islam yang menjadikan para ulama dan cendekiawan sebagai rakan dan penasihat, bukannya musuh yang sering dicemburui.

“Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa derajat.” (QS. Al-Mujadilah: 11)

6. Memperluas dan memperjelaskan konsep Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur kepada segenap lapisan masyarakat di Selangor bagi melenyapkan keraguan mereka tentang kebaikan sistem pemerintahan yang berteraskan kepada wahyu. “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk,” (QS An-Nahl [16]: 125).

7. Membentuk kebudayaan dan kesenian masyarakat yang menjurus kepada mendidik jiwa dan membentuk keperibadian, bukan kebudayaan dan kesenian yang membinasakan akhlak, moral dan integriti diri.Sabda Rasulallah SAW: Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kesempurnaan akhlak. HR Al-Bukhari.

27 MUHARRAM 1430 H / 24 JANUARI 2009.PERSATUAN ULAMA MALAYSIA, CAWANGAN SELANGOR.DEWAN SEMINAR, MASJID SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH,SHAH ALAM, SELANGOR.