PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Tuesday, Jul 25th

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Profil Kenali PUMSel

Kenali PUMSel

  • PDF

Latar Belakang Penubuhan

Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Negeri Selangor (PUMSel) merupakan cawangan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) peringkat negeri yang pertama ditubuhkan dalam tahun 1984 dengan Pengerusi yang pertama iaitu Tuan Haji Mahmad Muhtar bin Haji Mahmad Saleh. Selain itu, jawankuasa awal ini turut dianggotai oleh Tuan Haji Mohd Talha bin Abdul Rahman selaku Timbalan Pengerusi, Tuan Haji Zohdi Bin Haji Toha, sebagai Setiausaha serta Ustaz Amir Marzuki sebagai Timbalan Setiausaha. Jawatankuasa penaja ini kemudian telah mengusahakan pendaftaran PUMSel sebagai sebuah badan berdaftar yang sah. Hasilnya PUMSel telah didaftarkan secara rasminya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 27 Februari 1987. Pada awal penubuhannya, ahli-ahli PUMSel terdiri daripada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pensyarah, kadi, Imam-imam masjid serta guru-guru sekolah agama di sekitar Lembah Kelang.

Visi Penubuhan

Melahirkan ulama’ mu’tabar bagi menzahirkan khairu ummah di Negeri Selangor

Misi Penubuhan

Memimpin Ulama al’amilin di Negeri Selangor dalam mendepani cabaran ummah dengan menjunjung nilai kesyumulan Islam.

Matlamat Penubuhan

Menghimpun dan menyatukan Ulama, Sarjana dan Cendekiawan Islam di Selangor bagi mencapai matlamat yang digariskan dalam perlembagaan persatuan.

Fungsi Penubuhan

Pemangkin bagi para Ulama, Sarjana dan Cendekiawan Islam di Selangor bergerak dalam satu wadah gerakan Islam.

Objektif Penubuhan

  1. Secara umumnya PUMSel mendokong semua objektif PUM yang tercatat dalam perlembagaan seperti berikut:-
    Menyatukan ‘ULAMA’ dalam harakah Islamiah dan mengembelingkan tenaga mereka untuk menegakkan syari’at Islam dan mempertahankan kebenaran dan kemurnian ajarannya.
  2. Meninggikan kedudukan dan taraf ‘ULAMA’ di dalam masyarakat.
  3. Menjalankan usaha-usaha kebajikan untuk ahli-ahli.
  4. Menjalankan usaha-usaha penyelidikan ilmiah dan pengeluaran buku-buku ilmiah yang sah di sisi undang-undang serta menghidupkan karya-karya ilmiah Islam yang lama.
  5. Bekerjasama dengan persatuan-persatuan Islam yang lain di dalam negeri.
  6. Meninggikan nilai-nilai akhlak dan rohaniah di dalam masyarakat dan membasmi punca-punca keruntuhan moral.
  7. Memainkan peranan dan memberi bimbingan kepada masyarakat untuk membina dan membangunkan ummah menurut Islam.
  8. Menjalankan ikhtiar untuk menjayakan tujuan-tujuan di atas dan meninggikan imej Persatuan Ulama’ Malaysia.

Secara khususnya pula, PUMSel berhasrat untuk:-

  1. Meningkatkan nilai kesarjanaan ilmu para ulama’ melalui wacana ilmu
  2. Memudahkan akses maklumat untuk orang ramai melalui laman web PUMSEL di sepanjang tahun.
  3. Menangani isu semasa umat berorientasikan tindakan yang realistik melalui simposium atau seminar.
  4. Memasyarakatkan ulama’ melalui program kemasyarakatan
  5. Pembukuan kertas kerja seminar dalam bentuk buku.

Aktiviti dan Kegiatan Utama

PUMSel secara dasarnya sentiasa menjalankan program-program yang berbentuk dakwah dan menyebarkan risalah Islam, di samping menyuburkan kemurnian pemikiran Islam di dalam masyarakat. PUMSel telah menjalankan program-program dakwah di peringkat negeri dan juga nasional. Ahli jawatankuasa PUMSel juga sama ada atas kapasiti individu atau atas nama persatuan kerap diundang untuk menyampaikan ceramah-ceramah umum, kuliah, dan juga membentangkan kertas kerja.

SEMINAR DAN KONVENSYEN

Antara Konvensyen and Seminar yang pernah dianjurkan PUMSel adalah seperti

  1. Muzakarah Ulama’ Negeri Selangor (1987)
  2. Seminar Ulama’ Selangor (Disember 1988)
  3. Seminar Model Perlembagaan Islam (Mac 1990)
  4. Muzakarah Ulama’ Negeri Selangor (1995)
  5. Seminar Wanita dan Undang-undang Jenayah Islam (Oktober 2002)
  6. Seminar Baldatun Toyyibah 1: Model Andalusia (Januari 2009)
  7. Seminar Krisis Murtad (Mei 2009)
  8. Seminar Najis Mughallazah dalam Dunia Kontemporari (Ogos 2009)
  9. Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam dalam Negara Islam (Disember 2009)
  10. Konvensyen Kewangan dan Perbankan Islam (Mac 2010)
  11. Seminar Baldatun Toyyibah 11: Model Uthmaniah (Januari 2011)
  12. Munaqasyah E-masjid (Februari 2011)
  13. Konvensyen Kewangan Islam (Mei 2011)

PUMSel juga pernah menganjurkan ceramah/kuliah ulama’-ulama’ antarabangsa di Selangor antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaily, Dr. Sheikh Ramadhan al-Butti, Sheikh Nuruddin Marbu al-Banjari dan ramai lagi.

Di samping itu, PUMSel juga mengadakan wacana ilmiah isu-isu semasa, kuliah Tafaqquh serta dakwah lapangan secara berkala secara anjuran bersama badan-badan NGO, agensi kerajaan dan swasta, masjid dan pelajar universiti.

PENERBITAN BUKU

PUMSel juga dalam perancangan untuk menerbitkan buku-buku hasil penulisan yang dibentangkan dalam seminar-seminar anjuran PUMSel dan juga hasil nukilan ahli-ahli PUMSel. Beberapa naskah buku terbitan PUMSel yang telah diterbitkan adalah:-

1. Baldatun Toyyibah: Model Andalusia
2. Baldatun Toyyibah: Model Uthmaniah
3. Fiqh Masyarakat Bukan Islam di Malaysia
4. 30 Mutiara Ramadhan

Penutup

Bagi menggerakkan PUMSel secara efektif, keterlibatan semua pihak untuk menghulurkan apa jua sumbangan amatlah diperlukan. Sumbangan idea, tenaga dan wang ringgit perlu ditingkatkan dan diselaraskan secara efektif  oleh semua.

Kami sedar, tidak mudah untuk kita memberikan komitmen masa dan tenaga, apatah lagi wang ringgit untuk menggerakkan PUMSel, namun inilah harga yang perlu kita bayar dalam mendokong pertubuhan yang kita sertai ini. Marilah memberi komitmen membangunkan PUMSel. Salurkan idea anda kepada kami.

Di samping keupayaan kewangan, kita juga memerlukan kemahiran dan profesionalisme dalam bidang pentadbiran dan pengurusan PUMSel supaya segalanya dapat berjalan dengan lancar dan efektif.

Firman Allah (bermaksud)

... Dan katakanlah. “Berkerjalah kamu maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaan mu itu. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitahukanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Surah At-Taubah ; 105