PUM Selangor Memerlukan sukarelawan sebagai Setiausaha Kerja Webmaster. Keutamaan kepada para pelajar universiti. Sila hubungi Khairun - 012-2911335 atau email ke kn4g92 @gmail.com
Muka Utama
KENYATAAN RASMI PUMSEL ISU NON MUSLIM MASUK MASJID
KENYATAAN MEDIA
PENGERUSI PERSATUAN ULAMA’ MALAYSIA CAWANGAN SELANGOR
BERKAITAN
ISU ORANG BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID
1.Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL) ingin menarik perhatian massa berkaitan laporan akhbar bertarikh 27 Ogos 2010 yang telah melaporkan seorang terdapat seorang ahli Parlimen yang memasuki dewan solat utama di salah sebuah surau di dalam negeri Selangor.
2.Secara umumnya, PUMSEL ingin merujuk pendapat para ulama’ ketika membahaskan isu orang bukan Islam memasuki masjid dan surau ini. Contohnya Sheikh Prof. Dr. Wahbah al- Zuhaili dalam kitabnya “al- Fiqh al- Islami wa Adillatuh” telah membahaskan isu ini di bawah tajuk khusus iaitu “Orang Bukan Islam Memasuki Masjid”. Sheikh Prof. Dr. Wahbah al- Zuhaili telah melampirkan pendapat ulama’ mazhab Syafie dalam permasalahan seperti berikut:
i.Mazhab Syafie berpendapat adalah dilarang orang bukan Islam untuk memasuki Masjidil Haram walaupun mempunyai maslahah (kepentingan) dengan berdasarkan arahan dalam surah al- Taubah, ayat 28.
ii.Walaubagaimanapun, ulama’ Mazhab Syafie telah berpendapat adalah harus untuk memasuki masjid lain selain Masjidil Haram dengan keizinan orang Islam.Ini adalah kerana nas daripada Surah al- Taubah, ayat 28 tersebut hanyalah menyebut larangan memasuki Masjidil Haram sahaja secara spesifik. Selain itu, terdapat juga dalil di mana Nabi telah menerima kunjungan daripada orang- orang Thaif sebelum keislaman mereka di dalam masjid. Selain terdapat juga hujah telah menunjukkan di mana Abu Sufyan telah memasuki Masjid Madinah ketika dia masih belum memeluk agama Islam.
3.Berdasarkan pendapat ulama’ mazhab Syafie ini, dapatlah dirumuskan bahawa orang bukan Islam adalah dilarang untuk memasuki Masjidil Haram sekalipun mempunyai maslahah (kepentingan). Tetapi untuk masjid- masjid lain selain Masjidil Haram, orang bukan Islam adalah diharuskan untuk memasuki masjid tersebut dengan syarat mendapat keizinan orang Islam.
Oleh yang demikian, PUMSEL dengan rendah hati ingin mencadangkan kepada YBhg. S.S Dato’ Seri Mufti Selangor dan pihak Ashabul Fadhilah ahli- ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk memuktamadkan keputusan hukum tersebut di peringkat negeri Selangor untuk diwartakan sebagai hukum rasmi yang perlu dipatuhi oleh semua pihak. Keputusan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
4. Di samping itu, PUMSEL juga berpendapat mana- mana pihak yang mahu membuat apa jua program di masjid dan ruang solat utama masjid yang melibatkan orang bukan Islam perlulah membuat rujukan dan mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama negeri khususnya Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.Kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam di Negeri Selangor adalah sangat mustahak dan penting sebagai mematuhi peraturan serta menghormati institusi agama di negeri Selangor.
5.Dalam hal ini juga, PUMSEL juga ingin menasihati golongan bukan Islam supaya lebih peka dengan sensitiviti umat Islam dalam soal- soal yang berkaitan urusan agama Islam khususnya institusi masjid dan surau. Janganlah dilakukan perkara- perkara yang boleh mengguris perasaan dan hati umat Islam demi menjaga perpaduan dan keharmonian dikalangan seluruh rakyat Malaysia.
Akhir sekali PUMSEL ingin menasihati semua pihak supaya mematuhi titah Sultan Selangor yang telah menitahkan supaya institusi masjid tidak dijadikan medan dan gelanggang berpolitik. Oleh yang demikian, PUMSEL berpendapat institusi masjid perlu dibebaskan daripada sebarang anasir politik kepartian. Sebaliknya institusi masjid perlu dijadikan sebuah institusi perpaduan dan kesatuan umat Islam.
Sekian, terima kasih.
USTAZ MOHD. ZAMRI BIN MOHD. SHAPIK
Pengerusi
Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor
27 Ogos 2010
Last Updated ( Saturday, 28 August 2010 )
KENYATAAN RASMI PUMSEL BERHUBUNG ISU DOA KEPADA NON-MUSLIM
KENYATAAN RASMI PERSATUAN ULAMA' MALAYSIA CAWANGAN SELANGOR
BERHUBUNG
Isu Mendoakan Kesejahteraan Kepada Non- Muslim
1. Isu berkaitan perbuatan mendoakan orang bukan Islam telah mula timbul sejak laporan akhbar yang telah menyatakan terdapat khatib solat Jumaat yang mendoakan YB Ketua Menteri Pulau Pinang dalam khutbah Jumaat. Ekoran daripada pendedahan tersebut, pelbagai pihak termasuk ahli politik, agamawan dan masyarakat awam telah memberikan ulasan serta komen terhadap isu tersebut.
2. Secara ringkasnya, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL) berhasrat untuk mengajak seluruh masyarakat untuk meneliti isu yang berbangkit ini daripada perspektif agama khususnya menelurusi pandangan para ulama’ muktabar. Sebenarnya isu ini telah pun dibahaskan dengan terperinci oleh ulama’ silam. Antaranya Imam al- Nawawi, seorang tokoh ilmuwan Islam telah menyatakan dalam karya beliau “Al- Azkar” seperti berikut :
" adalah harus mendoakan kafir zimmi supaya diberikan hidayah petunjuk, kesihatan badan dan seumpamanya". Walaubagaimanapun, Imam Al-Nawawi telah menyatakan orang islam tidak boleh mendoakan keampunan bagi orang bukan Islam.
3. Sebuah hadith telah direkodkan oleh Ibn Sunni, dimana Anas RA telah menyatakan bahawa dengan maksudnya, adalah Nabi SAW telah meminta untuk mendapatkan air lalu seorang Yahudi telah menimbakan air kepada Nabi SAW. Lalu Nabi SAW telah mendoakan kepada Yahudi tersebut “Semoga Allah mencantikkan kamu”, lalu Yahudi tersebut tidak pernah kelihatan uban sehingga dia meninggal dunia.
4. Selain, telah dikisahkan juga dalam kitab al- Sirah al- Nabawiyyah li Ibn Hisyam di mana Nabi SAW telah berdoa kepada Allah dengan berkata: “Ya Allah, teguhkanlah Islam dengan Islamnya salah seorang daripada dua umar (Abu Jahal atau Umar al-Khattab).
5. Sebuah hadith lain lagi yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi telah menyatakan:
“Seorang Yahudi sengaja bersin di hadapan Nabi serta mengharap Nabi akan berdoa sebagai balasan : Moga Allah merahmati kamu, Walaubagaimanapun, Nabi SAW hanya menyebut : Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperelokkan pemikiran kamu”
6. Berpandukan kepada huraian hujah tersebut, maka PUMSEL berpandangan adalah diharuskan umat Islam untuk mendoakan keselamatan kesihatan, memohon hidayah petunjuk dan seumpamanya kepada orang bukan Islam.
7. Namun begitu, dalam keadaan umat Islam yang masih belum memahami sepenuhnya ilmu- ilmu fiqh islami, PUMSEL berpendapat umat Islam haruslah memilih platform yang sesuai untuk membaca doa tersebut secara terbuka sebagai langkah mengelakkan salah faham berlaku dikalangan umat Islam.
8. Selain itu, PUMSEL juga berpendapat adalah tidak wajar khatib yang bertugas menyampaikan khutbah Jumaat bertindak meninggalkan doa kepada Yang Di Pertuan Agong (YDPA) selaku ketua negara dan Raja- Raja Melayu sebagai ketua agama di negeri- negeri.
9. Oleh yang demikian, PUMSEL menyeru kepada seluruh alim ulama, persatuan dan NGO dakwah untuk terus mempergiatkan usaha memberikan penerangan kepada masyarakat berdasarkan persepktif hukum dalam usaha memberikan kefahaman kepada umat Islam.
10. Dalam kes di negeri Pulau Pinang, PUMSEL berpendapat seluruh rakyat mestilah memberikan mandat penuh kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dengan kerjasama pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan isu tersebut mengikut lunas undang- undang dan prosedur yang ada. Janganlah ada mana- mana pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekacauan dan meraih kepentingan. Biarlah isu ini diselesaikan dengan cara yang paling harmoni demi memelihara perpaduan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
11. PUMSEL juga ingin menasihati seluruh masyarakat, apabila berhadapan dengan apa jua masalah agama maka rujuklah kepada ahlinya iaitu ahli agama (para ulama’) untuk mendapatkan penjelasan yang berautoriti dan berdisiplin. Dasar ini adalah selaras dengan tuntutan al- Quran dalam surah al- Anbiya’, ayat ke- 7 yang bermaksud:
“Maka bertanyalah kamu kepada ahluz- zikri jika kamu tidak mengetahui”.
Sheikh Abdullah Basmeih, telah memperincikan maksud “ahluz-zikri” adalah orang- orang yang mengetahui Kitab Allah. Sheikh Abdullah Basmeih juga menambah bahawa ayat ini telah menjadi dalil bahawa orang- orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertanya kepada orang- orang yang mengetahuinya, terutamanaya dalam soal- soal ugama.
11.Apabila sebarang kemusykilan agama timbul, maka penjelasan daripada perspektif Syara’ yang perlu diberikan prioriti untuk menjawab persoalan tersebut. Janganlah dirujuk kepada orang- orang yang bukan ahlinya kerana dibimbangi pandangan yang diberikan tidak menepati paiwaian hukum Islam.
Sekian, terima kasih.
USTAZ MOHD ZAMRI BIN MOHD SHAPIK
Pengerusi
Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor
Last Updated ( Saturday, 28 August 2010 )
IFTAR JAMAIE PUMSEL
Sekitar Majlis Iftar Jamaie Persatuan Ulama Malaysia Cawaangan Selangor yang diadakan pada 22 Ogos 2010 di Hotel De Palma, Shah Alam. Alhamdulillah seramai 50 orang ahli telah hadir memeriahkan majlis ini.
Iftar kali ini juga diserikan dengan Muntada Haraki yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Sanep Ahmad, Pensyarah Fakulti Ekonomi & Perniagaan UKM. Pembentangan yang disampaikan bertajuk "Penggunaan Wang Dinar di Malaysia dan Isu-Isu Semasa".
Berikut adalah gambar sekitar Majlis Iftar yang telah diadakan. PUMSEL mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang hadir termasuk wakil dari PUM pusat.
Last Updated ( Monday, 23 August 2010 )
Minda Pengerusi : Ulama Mendepani Cabaran Abad-21
Ucapan ini adalah petikan daripada Ucaptama Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Selangor ketika Muktamar Sanawi PUMSEL sesi 2010/2011.
Kehidupan hari ini dirasakan semacam tidak kena disana sini. Celaru dan keliru. Sesat dalam kesesatan. Tersalah jalan dalam petunjuk yang jelas. Ketaksuban nasionalisme sehingga melahirkan "si Kahar" nabi melayu palsu. Rasa keterujaan kepada keajaiban melahitkan Tuhan " Si Ayah Pin" dikalangan manusia. kebetulan menjadi keimanan sehinga "Si Paul" diimani dan sipercayai. Anak-anak dilahirkan tanpa bapa yang sah dan sebagainya.
Firman Allah yang bermaksud " dan Sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran) yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan 9yang menghasut dan menyesatkan), lalu menjadilah Syaitan itu taman yang tidak renggang daripadanya. dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk." 9surah Az-Zukhruf : 36-37).
Tidak ada umat Islam yang semula jadi ditakdirkan menjadi umat yang lemah, malas atau hina. Watak pasrah, malas, takut dan berjiwa hamba manusia akibat daripada absolutisme dan penindasan. Di Alam Melayu, absolutisme tercermin dalam sistem feudal yang telah mengakar dalam sejarah melayu dan berlanjutan pada hari ini. Dalam tamadun Islam, yang berdaulat adalah ilmu dan bukan kuasa (absolutisme) bukan hiburan (hendonisme) dan bukan kebendaan (materialisme).
Firman Allah dalam Surah Ar-Rad ayat 19 yang bermaksud " maka adakah orang yang mengetahui (Bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu perkara yang benar), sama dengan orang yang buta matahatinya ? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna (Ulul Al-bab).
Oleh itu, untuk memajukan umat Islam, mereka mesti dimerdekakan, budaya ilmu perlu disuburkan dengan syura dan keadilan. Projek pencerahan dan pemerkasaan minda dan jiwa umat Islam perlu dilakukan secara besar-besaran. Tanpa kekuatan pemikiran dan kekuatan kerohanian, kebangkitan tamadun Islam hanyalah angan-anagn. Merubah nasib atau dunia tidak semudah "bermimpi" atau berangan-angan. Bermula dengan ilmu dan ikuti dengan amal.
Tanggungjawab ilmuan yang tercerah (enlightened scholars) untuk menyedarkan dan membimbing masyarakat. Oleh itu, budaya ilmu dan berdakwah dikalangan ulama mesti digembeling bagi memastikan Islam berjaya di daulatkan. disamping itu, program harus melihat lebih dekat dengan situasi masyarakat juga penting supaya ulama tidak hanya beretorik tetapi reslistik.
Ustaz Mohd Zamri Shapik
1 Ogos 2010
Last Updated ( Tuesday, 17 August 2010 )
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK
Rasulullah bersabda diriwayatkan oleh Ahmad, An-Nasa'i, Baihaqi dari Abu Hurairah yang bernaksud "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang penuh berkat, Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga bdan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan"
Nabi berpesan riwayat Bukhari :
الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين
Puasa itu benteng, jesteru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa sebanyak dua kali.
PERSATUAN ULAMA MALAYSIA CAWANGAN SELANGOR
MENGUCAPKAN
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.
SEMOGA RAMADHAN TAHUN INI AKAN LEBIH BAIK DARIPADA RAMADHAN SEBELUMNYA.