يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلاَ يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللّهَ رَبَّهُ وَلاَ يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لاَ يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُواْ شَهِيدَيْنِ من رِّجَالِكُمْ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاء أَن تَضِلَّ إْحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُواْ وَلاَ تَسْأَمُوْاْ أَن تَكْتُبُوْهُ صَغِيرًا أَو كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِندَ اللّهِ وَأَقْومُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلاَّ تَرْتَابُواْ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلاَّ تَكْتُبُوهَا وَأَشْهِدُوْاْ إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلاَ يُضَآرَّ كَاتِبٌ وَلاَ شَهِيدٌ وَإِن تَفْعَلُواْ فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
وَإِن كُنتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُواْ كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُم بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللّهَ رَبَّهُ وَلاَ تَكْتُمُواْ الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
Maksudnya: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
لِّلَّهِ ما فِي السَّمَاواتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَإِن تُبْدُواْ مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللّهُ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَاء وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاء وَاللّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 282 – 284)
Huraian Perkataan
تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ = Urusan hutang piutang.
وَلاَ يَأْبَ = Jangan enggan, tidak menahan diri dari melakukan sesuatu yang perlu dilakukannya.
وَلْيُمْلِلِ = Merencanakan, menetapkan, membuat suatu kenyataan, menulis terma-terma dan syarat-syarat tentang sesuatu (hutang dsb)
وَلاَ يَبْخَسْ مِنْهُ = Tidak mengurangkan sedikitpun daripada yang sebenar-benarnya.
سَفِيهًا = Bodoh, orang yang mempunyai kekurangan dari segi untuk bertasarruf- berurusan dengan harta, seperti orang yang gila atau pembazir justeru tidak mengerti nilai harta.
ضَعِيفًا = Orang yang lemah iaitu seperti kanak-kanak ataupun orang dewasa/tua tetapi sudah nyanyuk dan tidak memahami apa yang dibicarakan.
لاَ يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُو = Tidak mempunyai kemampuan untuk merencanakan, membuat kenyataan atau mengadakan syarat dan termanya sendiri seperti orang yang cacat pendengaran, buta, bisu atau orang yang tidak mengetahui bahasa yang ditulis atau tidak memahaminya seperti bahasa undang-undang.
أَن تَضِلَّ = Takut berlaku samada kesilapan atau lupa.
أَقْسَطُ = keadilan, lebih adil.
أَلاَّ تَرْتَابُواْ = Tidak timbul keraguan atas urusan, hilang sifat syak wasangka.
فَرِهَانٌ = Berasal dari kalimah rahn yang diertikan sebagai al-thubat wa al-dawam (tetap dan kekal ) atau al-habs (penahanan) sebagaimana dalam Lisan al-Arab oleh Ibnu Manzur.
Sebab Nuzul.
Tidak ditemui riwayat tentang sebab nuzul ayat ini, namun ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat yang sebelumnya iaitu ayat 278, 279, 280. Dua ayat yang pertama mengenai perintah meninggalkan riba manakala ayat selanjutnya menerangkan anjuran supaya menangguhkan hutang orang yang kesempitan atau menghalalkannya sahaja sebagai sedekah.
Adapun ayat 278 dan 279 berkenaan riba, ia diturunkan berkenaan dengan pengaduan Bani al-Mughirah kepada Gabenor Mekah setelah pembukaan kota Mekah, iaitu ‘Attab bin As-yad tentang hutang-hutangnya yang beriba sebelum adanya hukum penghapusan riba, kepada Bani ‘Amr bin ‘Auf dari suku Thaqif. Bani Mughirah berkata kepada ‘Attab,” Kami adalah manusia yang paling menderita akibat dihapuskannya riba. Kami ditagih membayar riba oleh orang lain sedangkan kami enggan menerima riba justeru mentaati hukum penghapusan riba.” Maka kata Bani ‘Amr,” Kami minta penyelesaian atas tagihan riba kami.” Maka ‘Attab menulis surat kepada Rasulallah SAW dan dijawab oleh baginda dengan ayat 278 dan 279 Surah al-baqarah.
Lanjutan daripada ayat inilah seterusnya menceritakan peraturan-peraturan tentang hutang-piutang yang sepatutnya diikuti oleh orang Islam yang diterangkan dalam ayat 282, kemudian tentang gadaian ( al-Rahn ) pada ayat 283. Mungkin, kaitan supaya dalam hutang-piutang tidak ada riba atau penambahan atau pengurangan tercatat pada frasa kata وَلاَ يَبْخَسْ مِنْهُ. WaLlahu A’lam.
Beberapa Perbincangan Hukum Yang Terdapat Pada Ayat Di Atas.
1. Hukum dan Tata Cara Hutang - piutang
Para mujtahidin sepakat menyatakan bahawa memberikan hutang sesuatu kepada seseorang dengan pengembalian yang sama barang atau nilainya adalah sunnah, iaitu disukai kerana terdapat padanya unsur menolong orang yang sedang dalam kesempitan. Ia termasuk dalam sunnah yang muakkadah berdasarkan beberapa riwayat.
Dalam satu riwayat Muslim, Nabi SAW diriwayatkan bersabda,” Barang siapa membantu melonggarkan satu di antara beberapa kesulitran duniawi saudaranya, maka Allah akan melonggarkan satu daripada beberapa kesulitannya di hari akhirat, dan Allah adalah menolong hamba-Nya selagi hamba itu mahu menolong saudaranya.”
Berdasarkan kepada ayat di atas, terdapat beberapa peraturan yang sepatutnya dilakukan dalam urusan hutang-piutang. Perkara yang dianjurkan oleh Allah SWT dalam ayat tersebut ialah;
Mengadakan satu bukti tertulis tentang urusan hutang-piutang tersebut yang mengandungi jumlah atau nilai hutang serta tempoh masa hutang tersebut boleh dilangsaikan. Ini disebut dalam ayat إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلاَ يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللّهُ. Terma-terma dan syarat-syarat atau butiran mengenai hutang piutang tersebut hendaklah direncanakan sebaik-baiknya, benar lagi adil. Allah menyatakan, فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللّهَ رَبَّهُ. Jika orang yang berurusan dalam urusan hutang piutang ini tidak mempunyai kemampuan sebagai orang biasa yang lain, maka walinya bolehlah membuat urusan tersebut bagi pihaknya dengan mengadakan dua orang saksi lelaki, atau seorang lelaki dua perempuan. Para saksi ini juga tidak boleh engkar untuk menjadi saksi apabila diperlukan.
2. Siapakah mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk bertasarruf (berurusan harta ) dalam hutang piutang.
Dalam ayat tersebut dinyatakan,
فَإن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لاَ يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ
“Jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan”
Orang-orang bodoh ( safih ) – orang yang tidak cukup akalnya kerana gila atau belum cukup akalnya walaupun telah cukup umurnya. Para ulama berselisih tentang orang yang belum cukup akalnya. Menurut Abu Hanifah, Malik dan Ahmad, tanda cukup akal bagi lelaki ialah telah dapat memelihara hartanya dan tidak lagi membuang-buangkannya (memboroskannya ) tanpa syarat keadilan atau kefasikannya. al-Syafe’i menyatakan, tanda cukup akal ialah sudah tahu memelihara harta dan orang yang patuh pada agama. Abu Hanifah dan Syafe’i tidak membezakan antara lelaki dan wanita.Manakala Malik menganggap seorang wanita tetap tertahan hak bertasarruf hartanya sehinggalah dia berkahwin serta telah disetubuhi pula oleh suaminya.
Orang lemah – iaitu kanak-kanak yang masih kecil di bawah umur ataupun orang tua tetapi sudah nyanyuk yang mana mereka ini tidak faham dengan apa yang dibicarakan samada yang dikatakan sendiri atau oleh orang lain.
Orang yang tidak mampu pada dirinya sendiri untuk merencanakan urusan hutang piutang tersebut walaupun dia bukan safih dan dha’if. Mereka ialah orang yang tidak memahami bahasa yang digunakan untuk urusan hutang-piutang disebabkan ia dijalankan dalam bahasa yang lain daripada bahasa ibundanya ataupun kerana ditulis menurut lenggok bahasa undang-undang yang sukar difahami apabila dibaca sendiri. Sebagai contoh ialah terma-terma dalam surat hutang-piutang yang ditulis dalam Bahasa Inggeris seperti yang sering berlaku di negara kita, sedangkan tidak semua orang boleh memahaminya.
3. Siapakah yang dikatakan wali ?
فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ
Al-Syafe’i berpendapat Wali bagi anak kecil, gila dan orang safih ialah ayahnya, jika dia mempunyai ayah yang layak untuk memegang wilayah iaitu tidak gila dan bukan pula orang yang ditahan untuk menguruskan harta. Setelah itu datuknya. Jika tiada, berpindah hak wilayah itu kepada orang yang diwasiatkan oleh tertib terakhir.
Ulama Hanafiyyah menyatakan, wali anak dalam soal harta ialah ayahnya. Setelah itu orang yang diwasiatkan oleh ayahnya, kemudian datuk, kemudian orang yang diwasiatkan oleh datuk, kemudian penguasa negeri. Setelah itu qadi atau hakim, kemudian tiada lagi tertib. Pandangan ini lebih kurang sama dengan pandangan Maliki. Adapun ibu tidak mempunyai hak wilayah dalam soal harta.
Manakala pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafe’i, ibu tidak mempunyai hak wilayah kecuali diserahkan kepadanya oleh ayah, datuk atau qadi. Malahan, didahulukan ibu daripada orang lain yang bukan kerabat jika ibu itu orang yang salehah.
Ulama Hanbaliah pula menyatakan, wali terhadap anak kecil , gila dan safih ialah ayahnya yang merdeka, berakal lagi adil. Mereka juga berpandangan sah orang kafir menjadi wali kepada anaknya asalkan ia dipandang adil menurut agamanya. Sesudah itu, orang yang menerima wasiat dari ayah dengan syarat ‘adil walaupun berupah. Setelah itu wilayah berpindah kepada hakim. Adapun datuk, ibu dan asabah yang lain menurut mereka tidak ada hak memegang wilayah .
Sebahagian ulama membezakan orang yang gila dan safih tidak dari kecil, tetapi mendatang setelah baligh. Jumhur meletakkan hak wilayah bagi mereka kepada hakim walaupun ayah dan datuknya masih ada.
4. Hukum gadaian
وَإِن كُنتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُواْ كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ
Dalam ayat ini Allah menyarankan kepada mereka yang berurusan dalam hal hutang-piutang supaya menggadaikan sesuatu sebagai jaminan pembayaran hutang. Saranan ini merupakan alternatif kepada saranan terdahulu iaitu penulisan yang disebut oleh Allah dalam ayat sebelumnya.
Al-Syeikh Muhammad Abduh menjelaskan bahawa gadaian merupakan alternatif kepada catatan bertulis dalam soal penjaminan hutang. Ini bermakna hutang merupakan penyebab kepada gadaian. Dalam Tafsir al-Manar, beliau menyatakan, penghubungan antara keharusan bergadai dengan musafir dan ketiadaan penulis yang membuat catatan untuk penjaminan hutang bukanlah bertujuan menjadikannya syarat. Bahkan apa yang dimaksudkan ialah penjelasan tentang kelonggaran yang diberikan untuk meninggalkan catatan bertulis kerana keuzuran. Gadaian tersebut menggantikan tempat catatan dalam soal penjaminan ketika ia sukar dilakukan sebagaimana halnya ketika dalam musafir.
Justeru itu para ulama secara umumnya sepakat menyatakan bahawa menggadaikan barang itu harus hukumnya dalam keadaan hadhar atau safar, yakni samada dia bermusafir atau tidak. Walau bagaimanapun, Daud membataskan keharusan gadai itu hanya dalam keadaan safar sahaja.
5. Rukun-rukun dan syarat-syarat gadaian.
Rukun-rukun gadaian;
- Rahin – penggadai.
- Murtahin – pemegang gadai
- Marhun bih – barang gadaian
- Sighah – ijab dan qabul.
Syarat-syarat lafaz gadaian.
Ada kesinambungan antara ijab dan qabul.
Ada persamaan antara ijab dan qabul.
Tidak boleh disyaratkan sesuatu yang memudaratkan penggadai dan pemegang gadai.
Syarat-syarat penggadai dan Pemegang gadai.
- Mukallaf dan mempunyai hak tasarruf ( tidak disekat mengurus harta ).
- Tidak dipaksa.
- Mempunyai kelayakan untuk memberi dan menerima barang gadaian, seperti samada pemilik kepada barang yang digadai atau pemilik kepada hutang yang dicagarkan dengan gadaian.
Syarat-syarat barang gadaian.
- Berbentuk materi – bukan dalam bentuk perkhidmatan atau bukan-materi.
- Barang itu dipandang bernilai oleh syarak dan boleh dijual.
6. Allah Maha Mengetahui Segala Urusan Muamalat
وَإِن تُبْدُواْ مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللّهُ
Dalam ayat selanjutnya Allah memperingatkan umat manusia bahawa Dia Maha Mengetahui atas segala urusan perniagaan, hutang-piutang dan apa sahaja bentuk muamalat. Justeru itu jangan adanya penipuan samada secara terang atau secara tersembunyi kerana Allah Maha Mengetahui apa yang dizahirkan juga apa yang disembunyikan. Segala-galanya akan dihitung dan perhitungan Allah adalah maha tepat.
Mereka yang melanggar peraturan Allah akan menerima siksa yang pedih kecuali orang-orang yang mendapat pengampunan daripada Allah. WalLahu A’lam.
Pengajaran daripada ayat-ayat.
- Urusan hutang-piutang merupakan urusan muamalat yang melibatkan kepercayaan antara dua pihak. Oleh itu adalah wajar jika dibuat satu bentuk perjanjian bertulis yang menerangkan segala hal yang berkaitan dengannya agar tidak timbul kecelaruan apabila terdapat perselisihan di kemudian hari.
- Orang yang boleh berurusan dalam hal hutang-piutang adalah mereka yang tidak ditahan melakukan urusan muamalat iaitu bukan orang safih dan orang-orang lemah. Mereka perlu diwakili oleh wali mereka.
- Adalah lebih baik mengadakan saksi-saksi yang adil, samada dua orang lelaki atau seorang lelaki dan dua perempuan sebagai pelengkap kepada urus janji hutang piutang itu.
- Sebagai alternatif kepada penulisan, maka bolehlah seseorang berhutang dengan menggadaikan barangnya sebagai cagaran bagi hutangnya.
- Ingatlah, Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu, maka janganlah cuba menipu dalam urusan hutang-piutang itu.
WaLlahu A’lam.





