PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Tuesday, Jul 25th

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Fokus Semasa Muamalat Muamalat

Muamalat

Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam ke-8

  • PDF

 

RUMUSAN MUZAKARAH

AHLI MAJLIS PENASIHAT SYARIAH INSTITUSI

KEWANGAN DI MALAYSIA KALI KE-8,

TAHUN 2012

Memartabatkan Muamalah Islam

Demi Kesejahteraan Ummah”

8 Rejab 1433H/ 29 Mei 2012 | Dewan B1, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

1. Emas merupakan logam yang berharga dan mempunyai nilai intrinsik yang tersendiri. Kepentingan dan keistimewaannya juga telah termaktub di dalam al-Quran. Justeru, masyarakat perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan syariah terhadap simpanan, penggunaan serta aktiviti jual beli yang berkaitan dengannya.

2. Muzakarah memperakukan Parameter Pelaburan Emas yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13 hingga 15 Oktober 2011 perlu dipatuhi oleh para pelabur dan peniaga muslim dalam aktiviti pelaburan dan jual beli emas. Namun begitu, masih terdapat isu-isu yang memerlukan kepada kajian lanjut.

3. Muzakarah mencadangkan agar :

a) Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti pelaburan emas perlu merujuk kepada pihak berwajib dalam urusan kepatuhan syariah dan undang-undang berkaitan konsep serta modus operandi sesuatu produk dan teknik pelaburan di pasaran. Oleh yang demikian, muzakarah turut mencadangkan supaya penasihat syariah dilantik dalam sesebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pelaburan emas yang mengklasifikasikan sebagai patuh syariah;

b) Agensi-agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya mematuhi syariah dan undang-undang terhadap aktiviti pelaburan emas yang telah mengklasifikasikan sebagai mematuhi syariah. Keperluan tindakan ini bagi mengelakkan masyarakat terjebak dalam transaksi yang diharamkan oleh syara’ dan juga undang-undang. Dalam hal ini, satu garis panduan urusniaga dan pelaburan emas perlu diwujudkan untuk memberi panduan kepada pelabur dan orang awam;

c) Kerajaan, iaitu Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa agama negeri bertindak tegas terhadap aktiviti pelaburan emas yang mengklasifikasikan sebagai mematuhi syariah tetapi tidak mematuhi syariah dan undang-undang. Penguatkuasaan ini boleh mengelakkan berlakunya penindasan dan penyelewengan dalam aktiviti pelaburan emas.

Untuk makluman, rumusan muzakarah ini boleh dirujuk dalam portal Jakim melalui alamat www.islam.gov.my

Bahaya Hutang, Tapi Anda Tidak Menyedarinya…!

  • PDF

By: Abdul Muhaimin Mahmood

Mutakhir ini kita dapat melihat betapa masyarakat kita sangat ghairah berhutang dalam mendapatkan barang keperluan dan perkara yang mereka hajati.

Berhutang pada setengah orang telah menjadi satu budaya yang dianggap sihat khususnya dalam menunjukkan kemewahan dan bermegah-megah dengan harta dan barangan yang mereka miliki.

Musim perayaan, cuti persekolahan dan hujung tahun sebelum sesi persekolahan baru bermula, makin banyak hutang dibuat kerana mahu memampakkan kemewahan dengan mendapatkan semua yang baru, meskipun yang lama masih elok dan barangkali hanya baru dipakai sekali dua sahaja. Istialah biar papa asal bergaya nampanya makin menular dalam masyarakat dewasa ini.

Perasan atau tidak, hakikatnya masyarakat kita kini telah terperangkap dalam fanomena suka berhutang yang kurang sihat, tetapi dianggap sebagai sihat oleh mereka. Amat pilu dan menyedihkan lagi, yang terlibat dalam fenomina ini juga adalah orang melayu yang Islam merupakan akidah dan pegangan mereka.

Hari demi hari keadaan ini makin memilukan apabila aktiviti berhutang telah menjadi asas kepada kehidupan masyarakat dewasa ini.

Tidak dinafikan berhutang adalah diharuskan dalam Islam bagi mereka yang memerlukan dan berhajat kepadanya, namun dalam masa yang sama perlu juga kita tahu bahawa Islam sesekali tidak menggalakkan berhutang dijadikan sebagai cara untuk bermewah-mewah, bermegah-megah dan dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh.

 Lebih memilukan lagi terdapat sesetengah orang yang beranggapan hutang merupakan mekanisma, kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.

Kesannya makin ramai individu yang berkemampuan membuat pembelian dan transaksi secara tunai telah memilih untuk berhutang dalam mendapatkan apa yang mereka iginkan seperti membeli rumah, kereta, perabut dan sebagainya. Alasan mereka, jika perbelian dibuat secara tunai maka mereka akan rugi.

 Statistik hutang dan muflis

Statistik hutang yang dilaporkan melalui dada-dada akhbar dari badan-badan yang berautoriti dalam negara, cukup menunjukkan kita betapa hutang sudah menjadi darah daging yang seakan tidak dapat dipisahkan dari masyarakat dewasa ini.

Kesannya banyak telah muflis disebabkan hutang. Suka saya petik beberapa keratan akhbar yang menjelaskan tentang fenomina yang kurang sihat ini:

 1. 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit dan penggunaan kad kredit.

Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan muda yang muflis. Petikan Utusan Online, 21/03/2011 bertajuk “Senarai hutang menanti pada usia muda”.

2. Ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius sehingga mungkin membawa kepada kebankrapan.Pada 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dengan 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki. Petikan Utusan Online, bertarikh 03/03/2011. 

3. Menurut Pengurus Besar AKPK [Azman Hasim] sejak 2007 hingga 28 Februari lalu, 144,720 individu menanggung hutang di seluruh negara mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan agensi itu termasuk 55,225 orang mengikuti Program Pengurusan Kredit.

Menurutnya, individu paling banyak menghadapi hutang adalah golongan berusia antara 30 hingga 40 tahun, berkahwin dan gaji tahunan kurang RM24,000. Harian Metro:http://www.hmetro.com.my/articles/144720terimakaunselingAKPK/Article.

Menurut Datuk Omar Osman Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.

Semua ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa parahnya budaya berhutang dalam masyarakat dewasa ini, lebih-lebih lagi bagi penjawat awam yang lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman dari pelbagai institusi kewangan.

Hutang peyumbang bahana dunia dan akhirat

Semakin banyak transaksi berteraskan hutang bermakna makin berkembanglah amalan riba, pecah amanah, rasuah, penyeliwengan, penipuan, pemerasan dan ugutan, pembunuhan, makin kurang produktiviti kerja, keruntuhan rumah tangga meningkat dan sebagainya lagi.

Ini kerana penyakit suka berhutang merupakan antara faktor dan peyumbang kepada masalah tersebut.

 

Tamakkan harta dan cintakan dunia telah melupakan manusia pada akhirat. Kecintaan mereka pada dunia melupakan pada kesan buruk dari perbuatan tersebut.

Mereka lupa pada sabda Rasulullah SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38).

Mereka lupa yang Rasulullah sentiasa mohon dilepaskan dari belenggu hutang.

Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214).

Tidak kurang banyak juga berlaku dewasa ini, individu yang suka berhutang atau meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.

Mereka ini lupa pada sabda nabi SAW “Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83) .

Budaya suka meminjam juga boleh menyebabkan seseorang individu menjadi muflis diakhirat nanti. Sekiranya mereka tidak dapat melunaskan hutang mereka didunia, mereka akan dituntut membayarnya di akhirat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ.

Maksudnya: Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW, bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis? " Sahabat-sahabat Baginda menjawab:  "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada  harta benda;" Nabi SAW., bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat,  sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka.

Kesimpulan

Islam mengharuskan pinjaman dan berhutang bagi mereka yang memerlukannya. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara dan wasilah untuk bermewah dan bermegah-megah atau dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh.

Cintakan dunia, tamak, riya’, takabbur, hasad, suka menunjuk-nunjuk dan tidak bersyukur dengan apa yang ada antara faktor peyumbang kepada tabiat suka berhutang yang membawa kepada kesensaraan di dunia dan akhirat. Bagi mengatasi sikap suka berhutang, faktor-faktor yang menjurus kepadanya hendaklah  diatasi dan diperangi dengan gigih dan tabah.

 

Seorang yang soleh merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya sama ada hasutan syaitan atau mengikut hawa nafsu. Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia. Ternyata ia masuk ke dalam diri manusia melalui sepuluh pintu iaitu:

  1. Tamak dan buruk sangka. Maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
  2. Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu saya menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
  3. Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
  4. Kagum terhadap diri sendiri ('ujub) lantas saya menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yang buruk.
  5. Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Lalu saya menghadapinya dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
  6. Hasad (dengki) lalu saya menghadapinya dengan sifat berpada (qana`ah) dan redha terhadap kuniaan Allah SWT kepada makhlukNya.
  7. Riya' dan sukakan pujian orang. Lalu saya menghadapinya dengan ikhlas.
  8. Bakhil (kedekut), lalu saya menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pads makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di nisi Allah SWT.
  9. Takabbur (membesar diri), lalu saya menghadapinya dengan rasa tawadhu'.
  10. Tamak haloba, lalu saya menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah SWT dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia. (Fathi Yakan, Maza yakni i'timai bi al-Islam. Lihat juga: Zulkifli Bin Mohammad al-Bakri, Integriti dalam Islam, Universiti Sains Islam Malaysia:Nilai, 2007, hlm.91-92)

Perkara Haram Dalam Perniagaan

  • PDF

Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan. Banyak ayat dan hadis yang mengalakkan dan menyokong aktiviti perniagaan. Perniagaan juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Perniagaan merupakan mekanisma untuk manusia mendapatkan harta dan barangan yang diingini. Manusia adalah makhluk yang lemah dan saling memerlukan yang lain. Pensyariatan perniagaan ini adalah bagi memenuhi fitrah semulajadi manusia. Melalui perniagaan ini, manusia boleh memenuhi keperluan dan tuntutan individu, masyarakat dan negara.

Urusan Hutang Piutang Dan Gadaian dalam Islam

  • PDF

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلاَ يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللّهَ رَبَّهُ وَلاَ يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لاَ يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُواْ شَهِيدَيْنِ من رِّجَالِكُمْ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاء أَن تَضِلَّ إْحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُواْ وَلاَ تَسْأَمُوْاْ أَن تَكْتُبُوْهُ صَغِيرًا أَو كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِندَ اللّهِ وَأَقْومُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلاَّ تَرْتَابُواْ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلاَّ تَكْتُبُوهَا وَأَشْهِدُوْاْ إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلاَ يُضَآرَّ كَاتِبٌ وَلاَ شَهِيدٌ وَإِن تَفْعَلُواْ فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

 

Konsep Akad dan Jenisnya dalam Muamalat Islam

  • PDF

Akad dari sudut penggunaan bahasa Arab mempunyai makna yang pelbagai antaranya, janji, jaminan, kepercayaan dan ikatan (sama ada ikatan sebenar seperti mengikat tali atau ikatan simbolik seperti ikatan ijab dan qabul dalam akad jual-beli). Manakala Kamus Dewan pula memberikan pengertian akad sebagai janji dan perjanjian. Perkataan akad merupakan perkataan yang sinonim dengan perkataan kontrak.

Akad dari istilah fiqh ialah ikatan di antara ijab dan qabul yang dibuat mengikut cara yang disyariatkan yang sabit kesannya pada barang berkenaan. Dengan perkataan lain akad melibatkan pergantungan cakapan salah satu pihak yang berakad dengan cakapan pihak yang satu lagi, mengikut ketentuan syarak yang akan melahirkan kesan pada barang yang diakadkan. (al-Zuhaily,Wahbah, 2002, Fiqh & perundangan Islam, pent. Md. Akhir Haji Yaacob, Dewan Bahasa dan Pustaka, jld.4, hlm.83).

Dari aspek undang-undang pula, kontrak didefinisikan sebagai semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak membuat kontrak, untuk sesuatu balasan yang sah, dan dengan sesuatu tujuan yang sah (Akta Kontrak, seksyen 10 (1)).

Akad terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut perbezaan sudut pandangan. Antaranya ialah pembahagian akad mengikut sifatnya dari aspek syarak, dan dari aspek ada atau tidak ada kesannya kepada akad yang dimenterai.

1. Pembahagian akad mengikut sifatnya dari aspek syarak, terbahagi kepada beberapa jenis iaitu sahih (صحيح) , batil (باطل), nafiz (نافذ), mauquf  (موقوف), lazim (لازم) dan ja’iz (جائز).

  • Akad sahih ialah kontrak yang sempurna semua rukun dan syarat yang ditetapkan syarak dan tidak ada sebarang unsur dan sifat meragukan yang boleh mengeluarkannya dari dikira sah dari segi pensyariatannya. Hukum kontrak ini ialah sah dan sabit kesannya serta-merta sebaik sahaja selesai ijab dan qabul jika tidak ada khiyar dalam jual beli.
  • Akad batil ialah kontrak yang tidak sempurna (cacat) syarat dan rukunnya. Hukum kontrak seperti ini ialah tidak sah dan tidak melahirkan sebarang kesan sedikit pun.
  • Akad nafiz ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai kelayakan dan kuasa untuk melakukannya. Hukumnya ialah kontrak seperti ini menerbitkan kesan segera sebaik sahaja ia dibuat, tanpa tertakluk kepada kelulusan dan keizinan seseorang.
  • Akad mauquf ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai kelayakan untuk berkontrak, tetapi dia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya seperti kontrak yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz bagi kontrak yang ada risiko untung dan rugi. Hukumnya ialah kontrak ini tidak boleh melahirkan sebarang kesan melainkan setelah mendapat kelulusan dan persetujuan oleh pemilik hak yang berkuasa melakukannya. Jika pemilik hak tidak mempersetujui atau meluluskannya maka kontrak itu menjadi batal.
  • Akad lazim ialah kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak yang memeterai kontak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak sewa dan jual beli.
  • Akad jaiz ialah kontrak yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak membatalkannya tanpa sebarang persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak wakalah.

 

2. Pembahagian akad dari aspek ada atau tidak ada kesannya terhadap akad yang dibuat pula terbahagi kepada munjiz (منجز), muallaq (معلق) dan mustaqbali (مستقبلى).

  • Akad munjiz ialah kontrak yang dibuat dengan lafaz yang tidak digantungkan dengan sebatang syarat dan tidak disandarkan pelaksanaannya pada masa hadapan. Kontrak seumpama ini menerbitkan kesan segera ke atas kontrak sebaik sahaja ia dibentuk.
  • Akad muallaq ialah kontrak yang dikaitkan kewujudannya dengan wujudnya sesuatu yang lain. Sekiranya wujud perkara tersebut maka wujudlah kontrak, jika sebaliknya maka tidak berlakulah kontrak. Sebagai contoh si polan A berkata kepada si polan B, “jika aku jadi keluar negara maka engkaulah menjadi wakil ku”. Kontrak seumpama ini tidak akan terbentuk melainkan adanya syarat yang dikaitkan itu.
  • Akad mustaqbali ialah kontrak yang dibuat dengan lafaz penerimaan disandarkan pada masa yang akan datang. Hukum kontrak ini ia akan berlaku atau terbentuk segera, tetapi kesannya tidak ada kecuali pada waktu yang ditetapkan itu, iaitu waktu yang disandarkan berlaku. (al-Zuhaily,Wahbah, Fiqh & perundangan Islam, jld.4, hlm.235-248 dan al-Banhawi, Mohd Abdul Fatah, 1999, Fiqh al-Muamalat Dirasah Muqaranah, Jamiah al-Azhar, Tanta, hlm.11-14.)



Akad jual beli dan jenis-jenisnya

Perkataan al-bai’ (jual beli) dari aspek bahasa bermaksud menukar suatu barang dengan suatu barang yang lain. Dari sudut istilah syarak pula, al-bai’ mempunyai banyak pengertian yang diberikan para ulama. Menurut Mazhab Hanafi, jual beli ialah pertukaran suatu harta dengan suatu harta yang lain mengikut cara yang tertentu. Atau menukar sesuatu yang disukai dengan sesuatu yang lain yang juga disukai dengan dengan cara tertentu yang berfaedah iaitu dengan tawaran atau unjuk-mengunjuk. Menurut mazhab Syafie, jual beli ialah pertukaran sesuatu harta benda dengan harta benda yang lain, yang keduanya boleh ditasharrufkan (dikendalikan), dengan ijab dan qabul menurut cara yang diizinkan oleh syarak (al-Husaini, Abi Bakr ibn Muhammad, 2005, Kifayatul akhyar fi halli ghayat al-ikhtisar, Dar al-Salam, al-Qahirah, Misr, hlm.305). Al-Bai’ juga adalah kontrak pertukaran harta benda yang memberikan seseorang hak memiliki sesuatu benda atau manfaat untuk selama-lamanya, bukan dengan tujuan al-qurbah (mendampingi diri kepada Allah) (Mughni al-muhtaj, jld.3, hlm.2).

Pensyariatan jual beli ini telah sabit dengan nas al-Quran, hadis dan juga ijmak. Terdapat lebih daripada sepuluh jenis akad jual beli dalam Islam yang boleh berlaku dalam bentuk dan gambaran yang berbeza. Antara jenis-jenis akad jual beli tersebut ialah:

  • Bai’ al-sil’ah bi al-naqd (بيع السلعة بالنقد): iaitu jual beli sesuatu barang dengan mata wang. Jenis ini adalah yang paling meluas berlaku dikalangan manusia. Contonya ialah membeli sehelai baju dengan Ringgit Malaysia atau US Dollar dan seumpamanya.
  • Bai’ al-muqayadhah (بيع المقايضة): iaitu jual beli sesuatu barang dengan barang, seperti menjual baju dengan beg atau menjual binatang ternakan dengan beras dan sebagainya.
  • Bai’ al-salam (بيع السلم): ialah jual beli sesuatu barangan secara tangguh dengan bayaran harga secara tunai, seperti menjual barangan yang telah disifatkan butiran bentuk, spesifikasi, kualiti dan kuantiti secara terperinci dengan bayaran harganya dibuat secara tunai, manakala penyerahan barang ditangguhkan pada suatu masa yang ditetapkan.
  • Bai’ al-sharf (بيع الصرف): iaitu jual beli mata wang dengan mata wang yang sama atau berbeza jenis, seperti menjual emas dengan emas, perak dengan perak atau emas dengan perak, ringgit Malaysia dengan rial Saudi dan sebagainya.
  • Bai’ al-murabahah (بيع المرابحة): iaitu jual beli sesuatu barangan pada harga kos bersama tambahan margin keuntungan, seperti menjual sesuatu barangan berharga RM100 dengan harga kos dan ditambah pula margin keuntungan sebanyak RM10 yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
  • Bai’ al-wadhiah (بيع الوضيعة): ia adalah lawan kepada jual beli secara murabahah, iaitu jaul-beli yang dibuat atas sesuatu barangan dengan harga yang lebih murah dari harga kos, seperti harga barangan adalah RM10 dan dijual dengan harga RM9 atau lebih rendah.
  • Bai’ al-tauliah (بيع التولية): ialah jual beli sesuatu barangan dengan harga kos tanpa ada lebih mahupun kurang dari harganya. Seperti barangan berharga RM100 dijual dengan RM100.
  • Bai’ al-urbun (بيع العربون): iaitu satu bentuk jual beli dimana pembeli membayar sejumlah wang pendahuluan. Sekiranya jual beli diteruskan maka wang pendahuluan ini akan menjadi sebahagian daripada harga barangan. Jika tidak, maka wang yang ini tidak akan dikembalikan kepadanya.
  • Bai’ al-talji’ah (بيع التلجئة): ialah suatu bentuk jual beli yang dibuat oleh penjual yang dalam kesempitan (terpaksa) kerana kuatir dan takut hartanya diambil oleh orang lain. Bagi menyelamatkan hartanya, ia bersepakat dengan seseoarang bagi menzahirkan akad jual beli dan menyembunyikan tujuannya yang sebenar. Seperti menjual rumah untuk mengelak dari dilelong oleh bank atau permiutang.
  • Bai’ al-wafa’ (بيع الوفاء): iaitu jual beli barangan dengan syarat apabila penjual membayar semula harga barangan yang dijual maka pembeli akan mengembalikan semula barangan yang dijual kepada penjual.
  • Bai’ al-istishna’ (بيع الاستصناع): iaitu jual beli dalam bentuk tempahan perbuatan barang tertentu dengan spesifikasi yang tertentu yang menghendaki penjual, pemaju, pengilan atau orang lain membuatkan barangan yang ditempah tersebut untuk pembeli.
  • Bai’ al-inah (بيع العينة): iaitu jual beli yang berlaku antara penjual dan pembeli, di mana penjual menjual asetnya kepada pembeli dengan harga tangguh lebih tinggi, kemudian penjual membeli semula aset tersebut daripada pembeli dengan harga tunai yang lebih rendah. Keadaan sebaliknya boleh berlaku.


Kesimpulannya, kepelbagaian bentuk dan jenis-jenis akad, khususnya akad jual beli menunjukkan keunikan sistem muamalat dalam Islam. Kepelbagaian bentuk dan jenis ini tidak lain adalah untuk memenuhi hajat dan maslahah yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan didunia ini. Semoga tulisan ini memberikan manfaat dan panduan kepada kita ke arah memahami akad dan kontrak dalam syariat Islam.