PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Thursday, Oct 23rd

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Fokus Semasa Jenayah Hukuman Takzir Berdasarkan Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia

Hukuman Takzir Berdasarkan Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia

  • PDF

Perkara utama yang perlu diambil kira dalam menentukan sesuatu hukuman adalah sebarang hukuman yang di kenakan  kepada tertuduh boleh menjadi iktibar,  pengajaran, peringatan dan balasan bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada semua masyarakat Islam supaya tidak melakukan kesalahan yang sama . Merujuk kitab Al Ahkam As Sultaniyyah dalam mukasurat 205 karangan Al-Mawardi menyebut:-

 

“Ta’zir juga suatu istilah yang kalau disebut secara tunggal akan bermaksud hukuman atau keseksaan. Bagi maksud kesalahan ia perlu disebut kesalahan-kesalahan ta’zir. Sebagai suatu hukuman para fuqaha mendefinisikannya sebagai hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan samada untuk kepentingan individu atau masyarakat dalam semua kes selain kes hudud dan qisas.”

 

Manakala di dalam Kitab Al-Fiqh al-Islami waadillatuh, Juzu’ 6 halaman 197 pula menyebut “takzir merupakan hukuman yang dikenakan ke atas jenayah atau maksiat yang tidak ditentukan hukuman had atau kaffarah.”

 

 

Hukuman ini termasuklah samada jenayah tersebut terhadap hak Allah seperti makan di siang hari dalam bulan Ramadhan tanpa uzur dan meninggalkan solat atau terhadap hak manusia. Hukuman takzir ini boleh dilakukan dalam bentuk pukulan/sebatan, tahanan/penjara dan memberi malu (tawbikh).

 

Para imam mazhab tidak mengharuskan takzir dengan cara mengambil harta pesalah kerana ianya merupakan kezaliman. Manakala Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim menentukan bahawa takzir dengan mengambil harta boleh dilakukan dengan kesalahan-kesalahan tertentu dalam mazhab Maliki, Hambali dan salah satu qaul dalam mazhab Shafi’i.

 

Dalam kitab yang sama juga di halaman 202 dijelaskan bahawa telah diriwayatkan dari Abi Yusuf bahawa harus bagi pemerintah melaksanakan takzir dengan cara mengambil harta pesalah ialah dengan menahan harta pesalah dalam jangka masa tertentu dengan tujuan memberi pengajaran kepada pesalah  kemudian dipulangkan kembali harta tersebut. Penahanan harta tersebut hendaklah bukan untuk kepentingan pemerintah atau Baitul Mal.

 

Di dalam Kitab At-Ta’zir Fi Al-Syariah Al-Islamiah oleh Dr. Aziz Aamir dalam muka surat 52 menyebut maksudnya:

“Fuqaha’ mentakrifkan (ta'zir) sebagai satu pembalasan yang ditetapkan kadarnya, diwajibkan samada sebagai hak Allah atau hak manusia, di dalam setiap maksiat yang tiada pembalasan had atau kaffarah, mempunyai tujuan yang sama seperti pembalasan had (hudud), iaitu memberikan pengajaran (ta’dib, mengadakan pemulihan (islah) dan mewujudkan ingatan yang menakutkan (zajr)”

 

Tujuan utama perlaksanaan hukuman ta’zir dalam syariat Islam ialah untuk mengajar, (ta’dib), pencegahan dan pengajaran di samping pemulihan dan pendidikan. Pencegahan ertinya mencegah pesalah dari mengulangi kesalahannya di samping mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama.

 

Disebabkan pencegahan merupakan tujuan utama hukuman ta’zir maka apa-apa hukuman mestilah mencapai tujuan dan objektif yang telah ditetapkan tersebut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap mahkamah memastikan setiap hukuman yang dijatuhkan terhadap seseorang pesalah atau tertuduh adalah hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan memastikan hukuman yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada tertuduh dan masyarakat Islam awam lain dan mendidik tertuduh dan masyarakat kita supaya patuh kepada perintah Allah, Rasul dan Pemimpin kita sendiri yang mana kita telah memilih mereka. Sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59 yang berbunyi:-

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan pemimpin-pemimpin diantara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka hendaklah kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah).