PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Wednesday, Oct 22nd

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Fokus Semasa Ibadah AYAT TENTANG SOLAT

AYAT TENTANG SOLAT

  • PDF

 

BAB 1 ; KEWAJIPAN SEMBAHYANG

وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya :

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. al-Baqarah : 110.

Perbahasan pertama :

Frasa ayat yang berbunyi, وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ merupakan bentuk kata kerja imperatif atau kata perintah ( fe’l amr ) yang jika diterjemahkan menjadi “ Kamu dirikanlah sembahyang dan kamu tunaikanlah zakat “. Ia merupakan kata perintah yang terang dan jelas. Justeru itu ia menjadi nas yang qat’i tentang perintah solat dan pembayaran zakat. Jumhur ulama usul-fiqh menyatakan makna hakiki bagi sighah amr ialah wajib.(Hj.hasan Hj.Ahmad, Usul Fiqh. Pustaka Abd.Majid.1998; 396) Justeru itu ada kaedah yang berbunyi “ al-Amr li al-Wujub “, iaitu perintah adalah menunjukkan wajib.

 

Perbahasan kedua ;

أَقِيمُواْ الصَّلاَة

Makna Solat.

Terdapat pelbagai pandangan tentang asal makna solat. Yang paling masyhur dan lebih nyata ia berasal dari kata “Solawaini”, mufradnya ( kata tunggal ) “solawa”, iaitu dua urat kiri dan kanan pinggul dan dua tulang yang turut membongkok pada waktu ruku’ dan sujud. Kerana itu ia tertulis dengan huruf waw sesudah huruf lam dan tidak alif.

Dari solawaini, ia dipindahkan maknanya secara bahasa dengan erti doa dan ia terbahagi kepada tiga pengertian. Solat yang dating daripada Allah bererti rahmat seperti ayat yang menyatakan Allah bersalawat ke atas nabi bermaksud Allah memberikan rahmat-Nya kepada nabi. Jika ia datang dari malaikat ia bermaksud meminta ampunkan dosa. Manakala solat yang datang dari sesama manusia bererti doa. Manusia membacakan salawat kepada nabi bermaksud mendoakan nabi. Demikian kata al-Azhari yang dinukil oleh al-nawawi dalam al-Majmu’nya.

al-Tabari dalam Tafsirnya menyatakan, solat itu adalah doa, dan sembahyang dikatakan solat kerana pelakunya memajukan diri menuntut pahala daripada Allah dengan amal dan doanya, justeru dalam sembahyang itu penuh dengan doa-doa. Al-Zujaji menyatakan asal kata Solat itu bermaksud lazim dan hanya beliau seorang yang menyatakan demikian.

Pandangan ulama yang menyatakan solat itu bermaksud doa lebih jumhur, nyata dan dipandang lebih rajih. Dari segi istilah fiqh solat itu ialah ,”Kata-kata dan perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul-ihram dan diakhiri dengan salam”.

 

Perbahasan ketiga.

وَأَقِيمُواْ الصَّلاَة

Hukum Sembahyang.

Para Imam sepakat ( ijmak ) menyatakan bahawa sembahyang itu salah satu daripada rukun Islam yang lima, iaitu sembahyang yang lima waktu sehari semalam. Ia difardhukan kepada setiap muslim yang baligh, beraqal, tidak dalam haidh dan nifas bagi perempuan dan tidak terlepas kewajipan ini sehinggalah masuk ke sakrat al-maut ( nazak ). Imam Abu Hanifah menambah, jika seseorang sudah sampai kepada tiada kemampuan untuk mengisyaratkan dengan kepalanya, maka gugurlah kewajipan solat daripadanya.

Mereka juga sepakat menyatakan bahawa kefardhuan solat tidak dapat digantikan oleh orang lain dan juga oleh harta ( seperti fidyahnya puasa ).

 

Perbahasan keempat.

وَأَقِيمُواْ الصَّلاَة

Hukum Meninggalkan Sembahyang.

Terbahagi kepada dua;

1. Meninggalkan sembahyang kerana ingkar fardhunya.

Orang yang meninggalkan sembahyang kerana ingkarkan kefardhuannya menjadi kafir murtad dan boleh dikenakan hukuman had bunuh kepadanya. Demikian ijmak ulama.

2. Meninggalkan sembahyang kerana malas.

Mazhab Syafe’i dan Maliki berpendapat, jika meninggalkannya kerana malas dan memandang mudah, dihukum bunuh atas nama had, bukan kerana kafirnya, yang mana setelah mati diuruskan sebagai jenazah muslim. Namun hukuman itu harus dijalankan setelah diminta bertaubat dan dia enggan.

Menurut Imam Ahmad pula , mereka itu juga kafir dan dihukum had bunuh kerana kekafirannya, tidak disembahyangkan, tidak pusaka-mempusakai dan hartanya menjadi milik negara. Manakala menurut Abu Hanifah, al-Muzanni dan sebahagian muhaqqiqin menyatakan mereka itu tidak dikafirkan dan tidak dihad bunuh, melainkan hanya dipenjarakan sehinggalah dia mahu sembahyang. Inilah pandangan yang terpilih.( al-Dimasyqi, Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman, Rahmat al-Ummah fi Ikhtilafi al-A’immah . Dar al-Fikr, Beirut. 1996. h.20)

 

BAB 2 : MEMELIHARA WAKTU SEMBAHYANG DAN SEMBAHYANG KETIKA TAKUT.

 

حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ

فَإنْ خِفْتُمْ فَرِجَالاً أَوْ رُكْبَانًا فَإِذَا أَمِنتُمْ فَاذْكُرُواْ اللّهَ كَمَا عَلَّمَكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya. al-Baqarah : 238 -239

 

Perbahasan pertama;

Sebab turun ayat .

( al-Suyuti, Jalal al-Din Abd. Rahman bin Abi bakr, Asbab al-Nuzul.Dar Tayyibah , Kaherah. 1986 : h.34)

 

  1. Dikeluarkan oleh Ahmad , al-Bukhari dalam buku sejarahnya, Abu Daud, al-Baihaqi dan Ibnu Jarir daripada Zaid bin Thabit, bahawasanya Nabi SAW sembahyang Zuhur dalam keadaan panas terik dan sebahagian sahabatnya merasa berat mendirikannya, maka turunlah ; حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْط .
  2. Dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasa’i dan Ibnu Jarir daripada Zaid bin Thabit, bahawasanya Nabi SAW bersembahyang Zuhur dalam keadaan panas terik, maka tidak ada di belakangnya melainkan satu saf dan dua saf lain sedang tidur dan berniaga, maka Allah menurunkan ; حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْطَى
  3. Dan dikeluarkan oleh Imam yang enam dan lain-lain dari Zaid bin Arqam katanya; Adalah kami bercakap-cakap dalam sembahyang pada zaman Rasulallah SAW, bercakap seorang lelaki daripada kami kepada sahabatnya di sebelah ketika sedang bersembahyang sehingga turun; وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ
  4. Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir dari Mujahid katanya; Adalah mereka ( para sahabat ) bercakap-cakap dalam sembahyang dan ada seorang lelaki menyuruh kawannya dengan suatu hajat, maka Allah menurunkan ; وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ

Perbahasan kedua;

والصَّلاَةِ الْوُسْطَى

Apakah itu solat al-Wusto.

Ada ulama yang menyatakan solat al-Wusto itu ialah sembahyang Subuh, antaranya al-Syafe’i dan Imam Malik. Ada yang mengatakan sembahyang Zuhur, ada yang menyatakan sembahyang Asar dan ada juga yang mengatakan ia adalah sembahyang Isyak. Imam Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat ia adalah sembahyang Asar.( al-Dimasyqi, op.cit.h. 22 )

Pendapat lain pula menyatakan, ia adalah salah satu daripada sembahayang yang lima justeru Allah tidak menyatakan dengan jelas apakah ia sebagaimana Allah tidak menjelaskan secara pasti bilakah malam al-Qadr.( Ahmad Sonhaji Mohamad, Tafsir al-Quran ‘Abir al-Athir.Pustaka al-Mizan, Kuala Lumpur. 1991 ; Jil.2.,h.174 ).

Sebahagian ahli tafsir menafsirkan solat al-Wusto itu sebagai solat Asar sebagaimana dinyatakan antaranya oleh al-Tabari ( Mukhtasar Tafsir al-Tabari; Jil.1.,h.76.), al-Ustaz Marwan Nur al-Din Suwar ( Tafsir wa Bayan Kalimat al-Quran al-Karim bi Hamish al-Quran al-Karim.Dar Fajr al-Islami, Damsyiq.) dan Dr. Muhammad Hasan al-Hamsi ( Tafsir wa Bayan Mufradat al-Quran ala Mishaf al-Tajwid. Muassasah al-Iman, Beirut).

Pandangan ini dipandang lebih kuat oleh ulama mutaakhirin mazhab al-Syafi’e ( al-Dimasyqi,loc.cit.) berdasarkan hadis yang antaranya dikeluarkan oleh al-Tirmizi dari Samurah bin Jundub bahawasanya Rasulallah SAW bersabda; al-Solat al-Wusto itu ialah sembahyang Asar.( Ahmad Sonhaji, loc.cit.).

 

Perbahasan ketiga;

حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْط

Waktu –waktu sembahyang.( al-Dimasyqi, op.cit.hh.21-22)

Dalam ayat ini Allah memerintahkan kita supaya sentiasa memelihara waktu sembahyang. Para ulama sepakat bahawa waktu sembahyang yang wajib dijaga ialah waktu-waktu sembahyang fardhu yang lima. Waktu sembahyang tersebut ialah;

  1. Sembahyang Fajar ( Subuh ) – Para ulama sepakat ( ijmak ) menyatakan permulaan waktu Subuh ialah dari terbit fajar kedua sehinggalah waktu terbit matahari.
  2. Sembahyang Zuhur – Ulama juga sepakat menyatakan bahawa awal waktu Zuhur ialah setelah gelincir matahari. al-Syafe’i dan Malik mewajibkannya sebagai wajib al-muwassa’ ( waktu yang luas, boleh dibuat bila-bila ) sehingga bayang sama panjang dengan objek. Mazhab Abu hanifah menta’likkan wajib wwaktu sembahyang Zuhur pada akhir waktunya, sedangkan pada awal waktu adalah sunat. Kata al-Qadhi Abdul Wahab al- Maliki dan seluruh Fuqaha lain semuanya menolak pandangan ini.
  3. Sembahyang Asar – Jumhur menyatakan waktu solat Asar apabila sesuatu bayang melebihi sedikit objeknya. Manakala sebahagian ashab Abu hanifah berpendapat bahawa permulaan Asar itu ialah apabila panjang bayang dua kali ganda daripada objek hinggalah terbenam matahari.
  4. Sembahyang Maghrib – al-Syafe’i dalam qaul jadidnya menyatakan bahawa waktu sembahyang maghrib bermula apabila terbenam matahari sehinggalah terbenam syafaq merah. Manakala Malik menetapkan bermulanya Maghrib itu apabila terbenamnya matahari dan tidak boleh ditakkhirkannya. pandangan ini juga merupakan qaul qadim al-Syafe’i. Imam Abu hanifah dan Ahmad menyatakan bahawa sembahyang maghrib itu ada dua waktu.
  5. Sembahyang Isyak – al-Syafe’i dan Malik menetapkan bermulanya solat Isyak apabila hilangnya syafaq merah. Manakala Abu hanifah dan Ahmad menetapkan syafaq putih yang muncul selepas syafaq merah.

 

Perbahasan keempat.

وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ

Sembahyang dengan khusyuk.

Kita diperintahkan agar mendirikan sembahyang dengan penuh ketaatan kepada Allah. Kata al-Tabari, mendirikan solat dengan khusyu’, patuh dan diam tidak bercakap-cakap. Khusyu’ bermakna merendahkan diri, menghinakan diri, di hadapan Allah SWT. Dalam ayat lain Allah menyatakan;

“ Dan neraka Wail bagi orang yang sembahyang, yang mana mereka itu lalai dari sembahyang mereka.” al-Maun;4-5

Hukum bercakap dalam sembahyang. ( Ibid )

al-Syafe’i menyatakan tidak batal jika bercakap dalam sembahyang, atau memberi salam kerana lupa, atau tidak tahu keharamannya, atau terlanjur tidak sengaja dengan syarat tidak panjang. Pandangan ini turut dipersetujui oleh Imam Malik dan Ahmad. Imam Abu Hanifah menyatakan batal walaupun terlupa kecuali memberi salam.

Manakala bercakap dengan panjang membatalkan sembahyang walaupun lupa. Demikian pandangan al-Syafe’i. Imam Malik mengharuskan bercakap untuk kemaslahatan sembahyang itu sendiri seperti mengingatkan imam yang lupa. al-Auza’i menyatakan tidak batal solat orang yang bercakap secara sengaja kerana sesuatu kemaslahatan walaupun bukan tentang solat, seperti menegur orang buta, menunjukkan jalan dan sebagainya.

Adapun pandangan yang kuat ialah bercakap dalam sembahyang secara senagaja itu membatalkannya sesuai dengan ayat al-Quran yang dibahaskan serta hadis Zaid bin al-Arqam tentang sebab turunnya ayat yang mana mereka kemudiannya dilarang untuk bercakap-cakap dalam sembahyang.

 

Perbahasan kelima;

فَإنْ خِفْتُمْ فَرِجَالاً أَوْ رُكْبَانًا

Suasana “takut”.

Suasana takut yang dinyatakan oleh ayat ini terbahagi kepada dua;

  1. Takut ketika dalam perjalanan. Pada umumnya kaum muslimin pada ketika itu (satu masa pada zaman nabi ) selalu berada dalam keadaan takut ( dari serangan kaum musyrikin ) ketika dalam musafir. Hal ini pernah diungkapkan oleh Ya’la bin Umayyah kepada Khalifah Umar r.a dengan katanya, “Mengapakah kita masih tetap mengqasarkan solat dalam perjalanan, sedang kita sekarang berada dalam suasan aman ? “. Umar r.a. menjawab,” Aku juga pernah hairan sebagaimana kamu lalu aku tanyakan kepada Nabi SAW. Baginda menyatakan; ia merupakan sedekah daripada Allah kepada kamu, terimalah ia dengan baik” ( al-Sabuni, Muhammad Ali, Rawa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat Ahkam, Maktabah al-Ghazali, Damsyiq.)
  2. Takut ketika dalam peperangan dan hal ini ada diterangkan dalam ayat Surah al-Nisa: 101-102. (ibid). Juga takut ketika dalam keadaan huru-hara dan bencana seperti gerombolan penjahat yang melakukan kejahatan secara bermaharaja-lela dalam negeri atau anarki. ( Idris Ahmad, Fiqh Syafii. Pustaka Antara,Kuala Lumpur.)

 

Adapun suasana takut yang membolehkan kita sembahyang sambil berjalan atau di atas / di dalam kenderaan ialah apabila perang sedang berkecamuk, anarki sedang kemuncak atau suasana takut yang tidak mungkin untuk berhenti. Ketika ini bolehlah samada mengadap kiblat atau tidak sebagaimana kata Ibnu Umar r.a. dalam riwayat al-Bukhari. (ibid)

 

BAB 3 : SEMBAHYANG KETIKA MABUK, JUNUB DAN TENTANG TAYAMUM.

4:43يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاء أَحَدٌ مِّنكُم مِّن الْغَآئِطِ أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء فَلَمْ تَجِدُواْ مَاء فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُواْ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Maksudnya;

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. al-Nisa : 43

 

Perbahasan pertama;

Sebab turun ayat.

  1. Diriwayatkan oleh Abu Daud , al-Tirmizi, al-Nasa’i dan al-Hakim dari Ali K.W. katanya; Pada suatu hari Abdul Rahman bin Auf telah membuat makanan untuk kami, lalu beliau mengundang kami dan memberi kami minum arak.Kami pun mabuk dengan arak itu. Kemudian tiba waktu solat dan mereka mengajukan aku menjadi imam lalu aku pun membaca;

قل يأيها الكافرون لا اعبد ماتعبدون ونحن نعبد ماتعبدون

Maka Allah pun menurunkan

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ

  1. Dikeluarkan oleh Ibnu Mardawaih dari al-Asla’ bin Syuraik katanya; Aku mengenderai unta betina Nabi SAW, lalu aku terkena junub pada waktu malam yang sangat dingin, maka aku pun takut jika mandi dengan air sejuk aku akan mati atau sakit, lantas aku pun menceritakan hal ini kepada rasulallah SAW, maka Allah menurunkan لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى sehingga akhir ayat seluruhnya. Dalam riwayat al-Tabarani
  2. Dikeluarkan oleh al-Tabarani dari al-Asla’ katanya; Aku berkhidmat kepada Nabi SAW, dan aku mengenderai unta untuknya. Sabda Nabi SAW suatu hari; Wahai Asla’, bangun dan kenderai unta !. Aku berkata; Ya Rasulallah, aku terkena janabah. Maka diamlah Rasulallah SAW dan Jibril AS pun datang dengan ayat al-Sa’id ( tanah debu ). Maka bersabda Rasulallah SAW; Bangun wahai Asla’, tayamumlah ! Maka baginda pun menunjukkan kepada aku cara tayamum iaitu menepuk tanah untuk menyapu mukanya dan dua tangannya sehingga ke siku. Maka aku pun bangun untuk bertayamum dan aku kenderai unta untuknya.
  3. Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir dari Yazid bin Abi Hubaib; Bahawasanya orang-orang lelaki dari kalangan Ansar pintu rumah mereka pada masjid. Apabila mereka berjunub ketiadaan air pada mereka dan berkehendakkan air tetapi tiada tempat lalu melainkan di dalam masjid, maka Allah menurunkan

وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ

  1. Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Mujahid katanya; Ayat ini turun kepada seorang lelaki dari kalangan Ansar yang sakit dan tidak mampu untuk berwuduk sedangkan beliau tiada hamba yang boleh membantunya, maka dikisahkan halnya kepada Rasulallah SAW maka Allah pun menurunkan

وَإِن كُنتُم مَّرْضَى dan seterusnya.

 

Perbahasan kedua

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ

Apa yang dimaksudkan dengan kalimah الصَّلاَةَ

Sebahagian besar kaum mufassirin berpendapat kalimah al-Solah ialah sembahyang sebagaimana juga pendapat Abu Hanifah . Ia diriwayatkandari Ali bin Abi talib, Mujaihid dan Qatadah. Mereka berhujah bahawa, firman Allah selanjutnya, حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ menunjukkan ia adalah sembahyang kerana dalam sembahyang terdapat bacaaan-bacaan, doa dan sebagainya. Manakala jika menunjukkan tempat sembahyang ( masjid ) tidak ada keterangan yang mensyariatkan bacaan-bacaan untuk mendekati masjid. Di dalam Tafsir al-Manar , Rashid Ridha menyebutkan bahawa kalimat al-Solat itu ialah sembahyang.

Sebahagian ulama yang lain الصَّلاَة menunjukkan tempat sembahyang, yakni masjid, justeru dalam frasa kata لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ ada kalimat yang tidak dicantumkan. Ia merupakan pandangan al-Syafe’i, dinukilkan dari Ibnu Mas’ud, Anas dan Said bin Musayyab. Pada mereka , pengecualian yang disebutkan oleh Allah dalam إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ menunjukkan lebih sah kepada penafsiran الصَّلاَة itu adalah masjid. ( al-Sabuni, op.cit.)

Manakala mazhab Hanafi menafsirkan إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ sebagai ‘orang musafir’, yang mana jika tidak mendapat air boleh bertayamum untuk bersolat. Oleh hal yang demikian kalimah al-Solat itu sembahyang merupakan makna hakiki yang lebih dapat dipegang, sesuai dengan pilihan yang dibuat oleh al-Tabari sendiri dalam tafsirnya. hal ini lebih diperkuatkan lagi dengan asbab-al-nuzul ayat tersebut.

 

Perbahasan ketiga;

Adakah ayat ini menimbulkan hukum masuk masjid bagi orang yang berjunub ?

Jika ditinjau daripada pandangan pertama, ayat ini tidak menimbulkan hukum bahawa orang yang berjunub itu diharamkan memasuki masjid kecuali melaluinya sahaja. namun, pandangan kedua menyebabkan timbul hukum larangan memasuki masjid bagi orang yang berjunub melainkan melaluinya sahaja.

Namun demikian, ia tidak mempengaruhi jumhur ulama yang tetap mengatakan orang berjunub tidak boleh masuk dan duduk dalam masjid kecuali sekadar melaluinya sahaja, justeru terdapat nas lain daripada al-Sunnah yang menyatakan demikian. Hanya Daud sahaja yang membolehkan orang berjunub duduk dalam masjid. WalLahu A’lam.

 

Perbahasan keempat;

Siapa yang harus bertayamum.

Dalam ayat tersebut dinyatakan;

وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاء أَحَدٌ مِّنكُم مِّن الْغَآئِطِ أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء فَلَمْ تَجِدُواْ مَاء فَتَيَمَّمُواْ menunjukkan orang-orang yang boleh bertayamum jika tidak kedapatan air, sebagaimana berikut;

 

  1. Orang yang sakit . Orang yang sakit samada ada air atau tidak, yang jika terkena air boleh semakin memudaratkan penyakitnya atau bahkan terbunuh kerananya boleh bertayamum. Ini diperkuatkan lagi dengan sebab nuzul ayat nombor 2, 3 dan 5 di atas dan juga beberapa riwayat yang lain. Antaranya riwayat dari Abu Daud, Ibnu majah dan al-Daruqutni, dari Jabir bin Abdullah yang menceritakan tentang kembara mereka yang mana salah seorang sahabat mereka terluka kepalanya, bermimpi sehingga junub, meminta rukhsah daripada para sahabatnya yang lain untuk bertayamum tetapi tidak dibenarkan. Beliau lalu mandi dan mati keranya. Apabila diadukan kepada Rasulallah, baginda menyatakan ; “ Mereka telah membunuhnya, Allah membunuh mereka. Tidakkah sebaiknya mereka bertanya ktidak mengetahui ? Ubat bagi orang yang tidak mengetahui ialah bertanya.
  2. Orang bermusafir. Hal ini jelas kerana orang bermusafir terutamanya di padang pasir tidak punya kemudahan air yang banyak melainkan untuk minum. Ia merupakan ijmak ulama.
  3. Orang yang telah membuang air kecil atau besar.Orang yang berhadas hendaklah berwuduk jika ada air, tetapi jika tidak ada air, atau air sedikit untuk tujuan makan-minum, maka mereka boleh betayamum. Ini juga ijma ulama.
  4. Orang yang menyentuh atau menyetubuhi perempuan. hal ini akan dibicarakan lebih lanjut dalam perbahasan berikutnya.

Perbahasan kelima;

أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء

Bersetubuh atau menyentuh ?

Orang-orang salaf khilaf pada frasa kata أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء . Ali ibnu Abbas dan al-hasan berpendapat, kalimat لاَمَسُْ ialah mewati ( mensetubuhi ) . Pendapat ini dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan mazhabnya. Pegangan ini bersandarkan kepada riwayat sahih daripada Aisyah bahawa Nabi SAW mencium beliau sebagai isterinya lalu bersolat tanpa mengambil wuduk lagi. Demikian juga dengan satu hadis lain daripada Aisyah juga yang menyatakan pada suatu malam tangan beliau terkena tapak kaki nabi SAW sedangkan ketika itu baginda SAW sedang sujud dalam solat.

Kalimat لاَمَسُْ juga sebagai kata majazi (metafora ) atau metonimia (sindiran ) bagi bersetubuh kerana al-Quran tidak menggunakan kata bersetubuh secara terang sebagaimana terdapat dalam beberapa ayat lain yang menyatakan tentang kelakuan suami isteri itu. Antaranya dalam ayat talak yang menggunakan kata تمَسْوهنُ yakni “Bila kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyetubuhinya” (al-Baqarah ; 237).

Sebahagian kaum salaf yang lain seperti Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar dan al-Sya’bi berpendapat لاَمَسُْ itu bermaksud menyentuh dengan tangan sebagaimana makna hakiki yang asal dan pandangan ini dipegang oleh al-Syafe’i y6ang berhujah dengan makna zahir ayat. al-Syafe’i berhujjah , pokok dasarnya ialah mengenakan makna yang hakiki pada kalimat tersebut dan tidak mungkin mengalihkannya kepada makna majazi melainkan tidak mungkin mengenakan makna hakikinya.

Adanya qiraat kedua yang membaca أَوْ لَمَسْتُمُ النِّسَا

tanpa alif selepas lam menjadikan hujah mereka mantap pada pandangan mereka, yakni makna sentuh dengan tangan itu lebih dekat dengan kebenaran. Ibnu Rusyd dalam Bidayat al-Mujtahid mengomentari masalah ini akibat daripada dua makna pada kalimat ‘lamasa’, iaitu sentuh pada makna hakiki dan bersetubuh pada makna majazi dan hal ini dipakai dalam percakapan orang Arab.

Pertembungan pendapat ini berkisar tentang makna hakiki dan majazi. Sebahagian menyatakan, jika berlaku dua makna hakiki dan majazi, maka dimenangkan yang hakiki sedangkan yang lain menyatakan, jika selalu yang dipakai sebagai makna majazi dilain tempat maka makna majazilah yang terpakai. Ibnu Rusyd mendukung pandangan yang menyatakan ia bersetubuh justeru dalam ayat yang sama kata الْغَآئِطِ ditafsirkan secara majazi sebagai ‘ tempat buang air’ sedangkan makna hakikinya menunjukkan kepada tanah rendah.

Pandangan ini turut dipersetujui oleh banyak ulama mutaakhirin yang menyatakan mengapa dua kalimat ditafsirkan secara berbeza, satu majazi dan yang satu lagi hakiki. Lagipun, jika melihat kepada turutan ayat tersebut, ia merujuk kepada orang sakit, musafir, hadas kecil dan sudah tentu kemudiannya hadas besar, bukan hadas kecil juga. Ibnu Rusyd kemudian membawa beberapa contoh lain yang menunjukkan makna majazi kepada ‘persetubuhan’ dan bukan makna hakiki seperti kalimat, باشر dan ماس yang keduanya membawa maksud sentuh.( Ibid )

 

Perbahasan keenam;

فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُواْ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

 

Cara-cara tayamum.

Dalam ayat ini jelas menerangkan cara bertayamum, iaitu menyapu wajah dan dua tangan dengan tanah. Cara ini juga diterangkan dalam hadis sebab nuzul no.3 di atas iaitu; “Maka baginda pun menunjukkan kepada aku cara tayamum iaitu menepuk tanah untuk menyapu mukanya dan dua tangannya sehingga ke siku.” Cara bertayamum ini disepakati oleh semua ulama.

Adapun perselisihan para ulama ialah pada kalimat صَعِيدًا . al-Syafe’i dan Ahmad berpendapat bahawa صَعِيدًا itu ialah turab, yakni tanah. Justeru itu tidak boleh bertayamum melainkan dengan tanah yang suci atau dengan pasir yang berdebu yakni ia dapat melekat pada tangan dan tersapu pada anggota tayamum.

Manakala Abu Hanifah dan Malik menyatakan صَعِيدًا itu ialah bumi. Maka dengan itu boleh bertayamum dengan bumi dan segala bahagiannya seperti batu yang tiada tanah atasnya, pasir yang tidak berdebu dan sebagainya. Malik pula berpendapat, boleh bertayamum dengan segala yang berhubungan dengan bumi seperti tumbuh-tumbuhan.( al-Dimasyqi, op.cit ) .Wallahu A’lam.