PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Tuesday, Sep 02nd

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Fokus Semasa Akhlak REALITI GEJALA SOSIAL REMAJA: TANGGUNGJAWAB PENDAKWAH

REALITI GEJALA SOSIAL REMAJA: TANGGUNGJAWAB PENDAKWAH

  • PDF

REALITI GEJALA SOSIAL REMAJA: TANGGUNGJAWAB PENDAKWAH


PREMIS

Remaja merupakan satu kelompok masyarakat yang paling penting dalam sesebuah negara, jika remaja yang ada pada hari ini cemerlang, maka aman dan makmurlah negara kita di masa hadapan. Namun, remaja hari ini dilihat seolah-olah sebagai beban kepada masyarakat. Segala bentuk kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini semuanya disepuh kepada imej remaja. Keadaan ini berterusan menjadikan remaja dilihat sebagai kelompok bermasalah. Hampir keseluruhan remaja dilihat melalui sudut pandangan tercorot, sehingga menyukarkan peluang mereka untuk menembusi potensi diri. Lantaran itu, kelompok-kelompok remaja bermasalah yang wujud dalam sesebuah komuniti pasti akan diherdik dan dihina oleh masyarakat sekelilingnya bahkan oleh ibu bapa mereka sendiri. Sehingga akhirnya, kelompok remaja yang telah tersasar ini merasakan diri mereka sangat tidak berharga dan terus bergelumang dalam kancah kemaksiatan, kerana mereka sudah tidak ada lagi motivasi diri untuk berubah. Apabila mereka meningkat dewasa, sifat-sifat negatif yang masih ada dalam diri mereka akan terus wujud dan ini sudah pasti akan menimbulkan masalah yang lebih besar kepada masyarakat. Alangkah ruginya apabila aset bangsa yang paling berharga ini tidak dijaga dengan penuh kesungguhan sepertimana harta yang bertimbun. Walhal, sejarah telah membuktikan bahawa pemuda-pemuda yang beriman, bertaqwa dan berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah itulah, akhirnya apabila dewasa kelak akan memartabatkan agama dan negaranya sepertimana Ali bin Abu Talib dan Sallahuddin Al-Ayubi.

Golongan remaja pada hari ini dihambat dengan pelbagai permasalahan yang semakin lama semakin bertambah jumlahnya, bukan berkurang. Ia boleh dibahagikan kepada empat isu utama iaitu Gaya Hidup, Akademik, Budaya Sosial dan Kekeluargaan seperti yang di senaraikan ini dan setiap satunya saling berkait antara satu sama lain:

Gaya Hidup

1.Boros berbelanja


2.Gaya hidup Bebas
3.Hedonisme
4.Kebaratan (Westernization)
5.Disco / karaoke
6.Kosmetik

Kebejatan Sosial

1.Lepak
2.Merokok / Dadah / Gam
3.Arak
4.Lumba Haram
5.Seks Bebas / Zina
6.Bohsia / Bohjan
7.Pecah rumah/Ragut/Vandalisme
8.Buli / Samseng
9.Rogol / Cabul / Lucah
10.Murtad / Black Metal / Ghotic

Akademik

1.Hilang Motivasi Belajar
2.Pencapaian Akademik Rendah
3.Hilang Tumpuan Belajar
4.Keciciran di Sekolah / Kelas
5.Keciciran Taraf Pencapaian (dropout)
6.Ponteng /Lawan Guru

Kekeluargaan

1.Kemiskinan
2.Penceraian Ibu Bapa
3.Kahwin Di Usia Muda
4.Keluarga Besar
5.Pekerjaan / Bekerja
6.Ekonomi Diri / Keluarga
7.Keluarga “Dual Income”
8.Sumbang Mahram
9.Keruntuhan Akhlak
10.Keruntuhan institusi keluarga Islam



“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl:125)


Gejala sosial yang berlaku dapat dilihat malalui dua perspektif iaitu perspektif mikro dan perspektif makro. Perspektif mikro adalah masalah yang berpunca daripada isu-isu kekeluargaan saperti keluarga yang berpecah belah, masyarakat yang tidak lagi prihatin terhadap orang lain dan hilang rasa malu dalam diri muda-mudi akibat terpengaruh dengan budaya barat. Perspektif makro pula adalah isu-isu pembangunan yang tidak terancang dan merosakkan struktur sosial masyarakat, dasar negara yang tidak mengawal penyebaran hiburan yang melampau dan penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan rasa tanggungjawab sosial tetapi hanya manjalankan tugas atas dasar makan gaji.

Punca permasalahan sosial ini mesti dikaji ke peringkat akar umbi untuk kita memahami masalah sebenar. Diantara akar umbi permasalahan yang dapat kita kenal pasti adalah:

1.Golongan-golongan yang bermasalah ini sebenarnya boleh dikatagorikan sebagai   golongan Mustadh’afin atau yang tertindas kerana mereka didesak oleh sistem sosial yang tidak betul yang menyebabkan mereka dinafikan hak untuk hidup lebih selesa dan mendapat pendidikan yang lebih sempurna. Sistem ekonomi kapitalis yang sangat liberal membenarkan sekelompok manusia mengawal sistem ekonomi untuk mengumpul kekayaan (monopoli). Lantaran itu, golongan miskin ini hampir mustahil untuk mendapatkan hak yang sama seperti si kaya raya. Mereka berkerja kuat sekadar untuk mempertahankan hidup, mengejar materi semata, bukannya mempertingkatkan kualiti hidup. Apalah yang terdaya oleh si miskin untuk menguruskan rumahtangga dengan cemerlang kerana mencari sesuap nasi itu lebih penting daripada memerhatikan tingkahlaku anak-anak dan memberikan pendidikan yang sempurna. Dengan lain perkataan, “Kais pagi, makan pagi dan kais petang belum tentu boleh makan”.

2.Shopping kompleks dan lokasi-lokasi seumpamanya yang menyediakan tempat melepak sambil berhibur menjadi lokasi membiaknya gejala sosial ini. Tempat-tempat seperti ini dibina atas dorongan mahu mencari keuntungan oleh golongan-golongan tertentu yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan negara semata-mata kerana ringgit. Disinilah semua pengamal-pengamal gejala sosial yang bermacam-macam jenis itu berkumpul dan bertukar-tukar fikiran untuk menghasilkan satu ‘Budaya Syaitan’ yang lebih tulen sehingga timbulnya fahaman-fahaman syaitan seperti Jangan Ikut Tuhan (JIT), Black Metal, Ghotic, Punk, Skinhead dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja, tempat-tempat hiburan seperti ini juga menjadi tempat mereka mengkader orang lain untuk jadi seperti mereka. Selepas puas berhibur, mereka melepak pula di tempat yang sesuai dengan penyakit sosial yang lain. Penagih dadah dan penghidu gam di rumah-rumah usang, belen (dulunya disebut bohsia) dan pelacur di lorong-lorong belakang dan mat rempit / minah rempit di jalan-jalan raya strategik untuk mereka berlumba.

3.Budaya bangsa timur yang pemalu telah terhakis kerana terpengaruh dengan budaya barat yang liberal dan sangat bebas. Wujud golongan-golongan Liberal yang bergerak dalam organisasi yang teratur seperti Sister In Islam (SIS) yang melaung-laungkan penolakan penguatkuasakan undang-undang moral agama kerana menurut mereka, undang-undang tersebut melanggar kebebebasan dan hak asasi manusia. Lebih parah lagi, keadaan ini menghasilkan satu fenomena dimana mungkar itu menjadi sebuah norma masyarakat yang dianggap biasa dan tidak mencacatkan. Apa yang sangat merunsingkan adalah apabila sesuatu kemungkaran itu menjadi aliran yang dapat diterima sebagai sesuatu nilai yang dirasionalkan dan juga sebagai suatu perkembangan yang neutral.

4.Media memainkan peranan penting dalam penyebaran kesesatan. Filem-filem Hollywood dan Bollywood yang mempromosikan gaya hidup bebas, boros, dan sekular menjadi senjata yang paling ampuh untuk menyesatkan umat Islam. Ditambah pula dengan bahan-bahan cetak pisican yang berbentuk hiburan dan lucah yang berlambak-lambak dipasaran dengan harga yang murah. Maka antara natijahnya, pemahaman seks bebas yang salah oleh remaja-remaja yang mana mereka menganggap seks bebas adalah seks yang dilakukan dengan ramai pasangan manakala seks yang dilakukan dengan teman lelaki adalah sesuatu yang tidak salah atas hak cinta ‘suci’ mereka. Mereka tidak memandang isu ini dalam konteks pemahaman agama. Ini kerana pemahaman agama tidak diterapkan dalam diri mereka. Pendidikan seks yang diajar dalam majalah-majalah yang mudah didapati dikedai-kedai tanpa pendekatan agama hanya akan menggalakan remaja ingin mencuba melakukan seks.


Tinjauan Khas Aktivis Dakwah di Lokasi Jualan Telefon Bimbit & VCD / DVD

Kegiatan seks bebas dikalangan remaja di Malaysia bukanlah satu isu yang baru. Sejak sekian lama isu ini dibincangkan dari semasa ke semasa oleh pelbagai pihak namun nampaknya tidak ada penambahbaikan yang benar-benar berlaku terhadap masyarakat melainkan kegiatan ini semakin bertambah dan salah laku seks dikalangan masyarakat kita terutama remaja semakin menjadi-jadi. Jika dua puluh tahun dahulu, salah laku seks dilakukan secara tersembunyi di rumah-rumah sunyi, di dalam hutan dan semak-samun agar tidak diketahui umum. Namun, sekarang ia telah menjadi satu barah yang sangat kritikal. Para remaja kita pada hari ini seolah-olah tidak lagi malu untuk melakukan seks di mana-mana tempat yang mereka suka. Bahkan mereka seolah-olah berbangga melakukan seks bebas apabila mereka merakam perbuatan seks mereka sendiri. Kegiatan jenayah seks seperti cabul, rogol, sumbang mahram, dan gangguan seksual kini semakin tidak terkawal.

Peningkatan jumlah kes salah laku seks dewasa ini sangat berkait rapat dengan penularan video lucah yang tidak terkawal didalam masyarakat. Kemudahan untuk mengakses bahan ini sama ada melalui internet, kedai cd dan dvd malah melalui telefon bimbit telah menjadikan aktiviti seks bebas semakin diamalkan oleh remaja kita. Video-video lucah luar negara dengan pelbagai aksi seks yang baru kepada masyarakat timur telah menjadi bahan rujukan oleh remaja-ramaja kita untuk meniru dan seterusnya merakam aksi seks sendiri versi Malaysia. Sekarang, dengan begitu mudah video-video lucah lakonan anak tempatan ini dapat diakses sama ada melalui internet atau telefon bimbit.

Video Lucah Tempatan

Majoriti video lucah tempatan dirakam dengan menggunakan telefon bimbit. Selain itu, videocam dan juga kamera litar tertutup turut digunakan untuk merakam aksi-aksi lucah. Video-video ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan cara rakaman, jenis aksi, identiti individu di dalam video, lokasi seks dan jenis institusi (sekolah, syarikat, IPT) yang dikaitkan dengan individu didalam video. Jenis-jenis video lucah ini membolehkan beberapa ‘keyword’ atau ‘tag’ dicipta untuk setiap video supaya video yang dimaksudkan mudah untuk dicari di internet.

Kaedah penyebaran video lucah tempatan

Perkara dasar kepada permasalahan video lucah ini adalah kehilangan nilai moral masyarakat terutamanya muda-mudi yang meniru gaya hidup seks bebas barat, malah merakam pula aksi seks terbabit dengan alasan untuk dijadikan bahan kenang-kenangan. Apa yang lebih membimbangkan adalah budaya rogol yang semakin menjadi-jadi. Budaya ini menjadi semakin terkenal dengan wujudnya telefon bimbit berkamera. Idea untuk merakam aksi seks sebagai kenangan juga datang daripada barat dan video-video versi barat ini mudah untuk ditonton di internet. Video-video lucah aksi peribadi versi tempatan pula boleh didapati secara mudah diinternet dengan munculnya laman-laman web yang menawarkan perkhidmatan penyimpanan dan perkongsian ‘file’ peribadi secara percuma diinternet.

Perkhidmatan ini disebut sebagai ‘file hosting’. Video-video lucah tempatan ini tersebar sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Video ini akan disebarkan dengan sengaja biasanya apabila si lelaki ingin membalas dendam dengan memalukan si perempuan apabila mereka memutuskan perhubungan. Begitu juga dengan video lucah versi rogol dan skodeng termasuk video lucah yang dirakam bersama pelacur. Menjadi kebiasaan juga video-video lucah rakaman sendiri ini tersebar apabila telefon bimbit atau laptop yang mengandungi aksi ini dicuri atau hilang. Pencuri terbabit biasanya akan menyebarkan video ini di internet. Selain daripada video yang didapati daripada laman ‘file hosting’, video lucah tempatan juga biasanya mudah ditonton daripada laman yang menyediakan ‘video streaming’ (penyiaran video) dengan aplikasi sosial.

Perniagaan dan Promosi Video Lucah Tempatan Di Premis Niaga

Lambakan video lucah boleh didapati dipremis-premis kedai video cetak rompak, pasar-pasar malam, dan juga dijual terbuka ditepi-tepi jalan pada waktu-waktu tertentu. Namun, kebiasaannya video-video lucah yang dijual melalui vcd atau dvd ini merupakan video lakonan luar negara. Video lucah tempatan seperti ini jarang-jarang dijual melalui vcd atau dvd. Jika ada pun jumlahnya sangat sedikit dan sukar didapati. Ia tidak praktikal kerana lazimnya video-video lucah tempatan ini adalah video rakaman sendiri menggunakan kamera telefon bimbit dan kualiti rakamannya tidak sesuai untuk ditonton melalui vcd. Video-video lucah ini biasanya ditonton melalui internet atau telefon bimbit.

Oleh itu, selain video-video yang diedarkan melalui internet wujud pula perkhidmatan menjual video-video ini secara ‘softcopy’ dikedai-kedai telefon bimbit dan kedai-kedai yang menawarkan ‘ringtones’, muzik dan permainan untuk telefon bimbit. Bawa sahaja telefon yang mempunyai aplikasi video beserta dengan memori kad, dengan RM30, memori kad (1 atau 2 Gigabite) akan diisi penuh dengan video-video lucah. Pilihan boleh dibuat antara video lucah asing dan video lucah tempatan. Dengan adanya telefon bimbit canggih juga, seseorang boleh berkongsi video lucah melalui SMS dan Bluetooth. Budaya bertukar-tukar video telefon bimbit ini telah menjadi satu norma kepada remaja apabila mereka melepak atau berhimpun bersama-sama. Mereka yang mempunyai video lucah terbaik dan terbaru akan berbangga untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang lain. Jika video terbabit adalah video rakaman diri sendiri, kebanggaan mereka akan lebih terserlah. Tiada rasa malu. Walaupun video lucah asing lebih melampau aksi kelucahannya, namun video aksi anak tempatan lebih diminati mungkin kerana wajah-wajah dalam video berkenaan lebih dekat pada hati mereka.


Telefon Bimbit Tiruan China Mobile

Penyebaran video lucah melalui telefon bimbit telah lama berlaku dalam masyarakat, namun ada fenomena baru yang dicipta oleh telefon-telefon yang disebut sebagai China Mobile yang merupakan telefon import yang dihasilkan di China dengan meniru beberapa ciri yang ada pada telefon bimbit jenama yang terkenal. Bentuk dan lambang yang digunakan pada telefon ini jelas menunjukkan percubaan syarikat dari China ini untuk mengelirukan pengguna, antara jenama yang ditiru adalah Sony, Nokia dan Apple. Model tiruan yang dihasilkan tidak meniru seratus peratus ciri yang ada pada jenama sebenar, terdapat beberapa ciri yang khas yang disertakan pada telefon China Mobile ini seperti aplikasi TV dan dual simkad. Melalui penyiasatan yang dilakukan Aktivis Dakwah Lapangan, telefon ini dibawa masuk kedalam negara ini melalui pengedar tunggal. Ini dapat dilihat apabila terdapat kawalan harga paling rendah terhadap telefon jenis ini. Sebagai contoh, telefon China Mobile model A968 yang terdapat lambang Sony Vaio padanya dijual dengan harga paling rendah RM300 selepas tawar-menawar dimana-mana kedai pun. Harga yang dipamerkan di kedai-kedai untuk telefon jenis ini adalah di antara RM400 hingga RM450. Tiada satu kedai pun yang dibenarkan menjual dengan harga kurang daripada RM300 walaupun mereka mampu untuk menjual dengan harga itu.


Promosi Video Lucah

Oleh kerana telefon jenis ini dijual dihampir kesemua kedai telefon bimbit dan harga tawar-menawarnya dikawal, maka para peniaga mesti memikirkan bagaimana untuk menarik minat orang ramai supaya membeli China Mobile daripada kedai mereka. Kerana hanya memikirkan keuntungan, para peniaga ini sanggup mengambil kesempatan di atas keruntuhan moral para remaja kita. Video-video lucah tempatan Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa di Malaysia dijadikan bahan promosi untuk melariskan jualan telefon bimbit mereka. Caranya, setiap telefon ini akan ditawarkan secara pakej dengan video lucah percuma beserta memori kad 1 atau 2 Gb. Mereka hanya akan menawarkan promosi ini kepada pelanggan yang dilihat ‘berpotensi’ sahaja. Jika mereka melihat pelanggan tidak berminat pada video lucah, mereka akan menawarkan lagu-lagu dan ringtone sebagai ganti.

Namun, melalui tinjauan aktivis dakwah landas yang dilaksanakan, kebanyakkan pembeli telefon bimbit ini akan teruja dan mahu membeli telefon berkenaan daripada peniaga yang menawarkan video paling banyak, paling mengujakan dan paling terbaru. Para peniaga ini juga tidak segan-silu menjemput pembeli untuk membeli video-video yang baru setelah video percuma yang diberikan itu puas ditonton. Jika video yang ditawarkan oleh peniaga sudah ada dalam koleksi pembeli, maka pembeli terbabit boleh menukarkannya kepada video yang lain.

Kegilaan membeli video lucah dikedai telefon bimbit ini dilihat sudah mancapai satu tahap yang serius. Boleh dikatakan ia telah menjadi satu industry kecil. Para peniaga akan mengumpulkan seberapa banyak video lucah tempatan dari internet dan mereka juga sanggup membeli video lucah buatan sendiri atau ‘skodeng’ yang terbaru daripada pelanggan untuk dijadikan koleksi berharga yang boleh dijual kembali. Melalui pemerhatian yang dijalankan, kebanyakkan pembeli video lucah ini adalah terdiri daripada remaja sekolah dan individu dewasa yang mungkin mempunyai keupayaan terbatas untuk memuat turun video ini daripada internet.


Kesan terhadap masyarakat

Kesan penyebaran dan kegilaan video lucah lebih-lebih lagi video yang mempamerkan wajah-wajah tempatan adalah sangat buruk. Tidak dapat dinafikan, kehadiran telefon bimbit berkamera dan boleh memainkan video telah membawa kepada peningkatan jumlah video lucah buatan sendiri. Jika dahulu, untuk menonton video lucah, remaja dan belia perlu berhimpun dirumah-rumah bujang yang mempunyai pemain video, kini dengan telefon bimbit, nafsu mereka boleh dirangsang dimana-mana pun. Di dalam sekolah, di bilik tidur, di tandas, di pejabat, di dalam bas, di stesyen bas, di dalam pasaraya, di tepi jalan malahan di dalam kawasan surau dan masjid pun boleh ditonton tanpa sesiapa mengetahui.

Cuba bayangkan apa perasaan yang akan timbul didalam diri lelaki, tidak terkecuali perempuan setelah video ini ditonton. Kebetulan setelah menontonnya di dalam bas yang kurang penumpang, naik seorang wanita cantik duduk disebelah. Macam-macam boleh berlaku selepas itu. Kehadiran lambakan video-video lucah ini juga menggalakkan pasangan-pasangan yang bercinta seawal usia 11 tahun untuk melakukan seks dan selepas itu timbul pula kes-kes buang anak dan peningkatan jumlah anak luar nikah. Kejadian rogol dan zina yang dirakam didalam kawasan sekolah yang heboh diperkatakan juga adalah berpunca daripada penyebaran video-video ini melalui telefon bimbit yang dibawa ke sekolah. Jelas sekali kesan sosial yang sangat buruk yang dibawa oleh video-video seperti ini.

Selain kesannya kepada masyarakat dalam bentuk salahlaku seks, imej negara dan bangsa juga akan tercalar dimata masyarakat dunia. Cuba kita taipkan perkataan ‘melayu’ atau ‘malaysia’ pada ‘search engine’ untuk video, maka yang akan keluar dahulu adalah beratus-ratus video-video lucah tempatan. Ini adalah satu perkara yang amat memalukan. Tinjauan yang dilakukan mendapati, video-video lucah tempatan ini ada yang sudah dipamerkan oleh laman-laman web lucah perdana antarabangsa dengan tajuk dan komen yang mempersendakan imej negara seperti ‘Malaysian just pretend to be conservative’ dan ‘Cute veiled malay get wild’.


Masalah Hidu Gam Dikalangan Pelajar & Remaja

Masalah remaja hidu gam yang melibatkan pelajar sekolah semakin berleluasa. Ia melibatkan pelajar seawal usia 10 tahun. Gam lebih mudah diperolehi dan lebih murah untuk dibeli menyebabkan gejala tidak sihat ini semakin menular. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil sesuatu tindakan sebab sehingga kini tiada sebarang akta yang diperuntukkan bagi membendung dan mengatasi masalah ini. Tanpa akta maka masalah yang wujud bukanlah sesuatu yang salah disisi undang-undang. Sekurang-kurang, kerajaan perlu mewujudkan akta bahawa mereka yang dibawah usia 18 tahun tidak boleh membeli gam dalam kuantiti yang banyak.

Gam mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh menggangu fungsi jantung. Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Kesan lain pada fungsi otak:

  • menjadi nyanyuk
  • hilang ingatan
  • psikotik atau gila
  • hilang upaya deria dan
  • kelumpuhan pada bahagian tertentu


Apabila remaja terlibat dengan gejala hidu gam, ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing sebab ia bukannya dadah. Ini menyukarkan kita untuk mengesan mereka yang terlibat dengan masalah ini kecuali ketika mereka sedang melakukannya. Malah ada diantara remaja apabila sudah ketagihan sanggup menggunakan bahan alternatif seperti pencair cat, petrol dan tahi lembu kering. Tahi lembu kering itu dibakar asapnya disedut.

Apakah cara untuk kita mengatasinya?

  1. Ibu bapa perlu prihatin dan awasi tingkah laku anak-anak mereka. Semak bilik, laci dan beg sekolah anak. Awasi pergerakan dan rakan-rakan mereka.
  2. Pendedahan tentang kesan dan akibat daripada gejala ini mesti diberikan bermula dari pelajar sekolah rendah lagi. Lebih efektif jika ditunjukkan video serta gambar-gambar agar timbul rasa gerun dan insaf.
  3. Perlu ada akta bagi menghalang gejala ini agar boleh diadakan penguatkuasaan. Malah mungkin gam dijadikan sebagai barang kawalan yang tidak sewenang-wenangnya boleh dibeli, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak.
  4. Perbanyakkan program motivasi di peringkat sekolah. Program motivasi ini pula perlu dilakukan secara berterusan dan lantik mereka yang pakar untuk menjalankan program-program ini.


Cadangan

Berikutan dengan pendedahan ini, pihak kerajaan diharapkan dapat memainkan peranan yang sewajarnya untuk mengawal perkara ini supaya ia tidak menjadi lebih buruk. Dalam kes penjualan dan penyebaran bahan lucah, sudah ada undang-undang yang melarang perkara ini daripada berlaku. Namun, penguatkuasaan akta ini dilihat tidak berlaku dengan menyeluruh. Kekerapan serbuan pihak-pihak berwajib terhadap sendiket penghasilan dan penjualan video lucah dilihat masih tidak mencukupi.

Penguatkuasaan akta ini juga belum lagi dilaksanakan terhadap peniaga-peniaga telefon bimbit yang menjual video lucah secara muat turun sama ada ke telefon bimbit daripada computer atau ke komputer daripada internet. Walaupun hak untuk kebebasan media perlu ditegakkan, namun dinegara ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata masyarakat timur. Kebebasan secara total seperti yang dibawa oleh dunia barat sebenarnya hanya akan membinasakan sistem sosial masyarakat yang teratur. Perkara ini telah berlaku di barat. Tiada ertinya sesuatu kemajuan itu jika maruah dan jati diri masyarakat tergadai.

Oleh itu, kawalan terhadap penyebaran bahan lucah tempatan dan luar negara sepatutnya dilaksanakan. Sistem seperti tapisan ‘Green Dam’ yang dilaksakan di China dan sebahagian negara-negara lain perlu dicontohi dengan sedikit pengubahsuaian. Kerajaan perlu ikhlas dan bertanggjawab dalam melaksanakan tugas ini, hanya bahan-bahan yang merosakkan moral perlu dikawal, bukan bahan-bahan lain yang bersifat ada kepentingan tersembunyi pihak-pihak tertentu.

Pihak berkuasa yang berkenaan sudah tentu lebih arif bagaimana untuk mengawal kegiatan ini daripada terus membinasakan jati diri masyarakat. Pihak kerajaan perlu tegas dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang jelas sudah terpengaruh dengan dokma barat yang menolak polisi moral. Apa yang jelas, majoriti rakyat pasti akan bersetuju agar sekatan terhadap bahan-bahan lucah internet dilaksanakan jika mereka mengetahui situasi yang sebenar. Oleh itu, situasi penularan video lucah dan kesannya kepada masyarakat perlu didedahkan secara agresif di media-media semasa agar masyarakat faham.

Begitu juga gejala penagihan gam yang menjadi wabak membarah melanda remaja dan belia melayu Islam.  Kebanyakan mereka yang terlibat dengan gam (tora), menjadi manusia yang tidak normal dan ada yang telah menjadi gila.


”Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum:41)


“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). Dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.” (Ali-Imran: 104)


”Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan Ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.”
(Al-Anfal: 25)

Berpuluh bahkan mungkin beratus kertas kerja telah dihasilkan berdasarkan kajian-kajian sosial yang dilakukan. Berbagai-bagai idea tentang kaedah terbaik untuk mengubati pemuda-pemudi yang ‘sakit’ ini telah dilontarkan dan beribu-ribu pendakwah telah berbuih mulut memberi nasihat dan peringatan di kuliah-kuliah mereka di masjid-masjid dan surau-surau. Juga telah banyak kem motivasi pelajar dan khemah ibadah telah dilaksanakan. Namun entah apa silapnya, segala kebejatan ini masih berlaku, bahkan bertambah pula jumlah dan jenisnya.

Terdapat satu jurang interaksi yang sangat besar antara golongan pendakwah dan golongan berpenyakit sosial yang menyebabkan dakwah yang dijalankan jarang sekali sampai kepada golongan paling bawah dan terpinggir ini. Justeru adalah kerana golongan berpenyakit sosial ini memang sudah sifatnya tidak mahu mendengar nasihat. Oleh itu, adalah sangat tidak diharapkan untuk mereka membaca tulisan-tulisan ilmiah kerana mereka lebih suka membaca majalah hiburan, jangan difikirkan bahawa mereka akan melayari blog-blog dakwah kerana mereka lebih teruja membuka laman web lucah dan jangan diharapkan juga mereka akan ke masjid-masjid untuk mendengar kuliah kerana mereka lebih selesa melepak di lorong-lorong belakang kedai dan di pusat-pusat hiburan.


”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Ali-Imran : 110)


Golongan-golongan pendakwah jarang-jarang sekali mendekati golongan ini dan berdakwah secara terus kepada mereka. Mereka sebenarnya sangat memerlukan kaunseling keagamaan dan kasih sayang masyarakat. Jika ini tidak berlaku, mereka akan terus rosak dan merosakkan orang lain pula yang juga dahaga kasih sayang dan ilmu agama. Setiap pendakwah mesti berusaha lebih keras lagi untuk memperbaiki keadaan masyarakat dengan melaksanakan satu proses yang tersusun secara berperingkat-peringkat di medan lapangan dakwah mereka, dengan membekalkan kemahiran berkomunikasi dan berintraksi ketika mendekati kumpulan anak muda ini:

Pertama - Mereka perlu memahami keadaan sosial masyarakat tersebut. Keadaan sosial masyarakat desa (rural community) contohnya sudah tentu sangat berbeza dengan masyarakat bandar (urban community) mahupun masyarakat di penempatan-penempatan terancang seperti Felda.

Kedua - Para pendakwah perlu mengkaji perubahan sosial yang telah berlaku dalam masyarakat tersebut dengan menekankan aspek kronologi penularan sesuatu gejala sosial itu ke dalam masyarakat dan juga kronologi penglibatan individu dalam gejala sosial sebagai kes rujukan atau biasa disebut ‘study case’.

Ketiga - Setelah para pendakwah memahami kedua-dua perkara diatas, proses yang seterusnya dapat dijalankan dengan cara paling berhikmah iaitu proses memperjelaskan perspektif masyarakat kepada perspektif Islami dimana Islam itu adalah satu cara hidup (a way of live). Proses Islamisasi masyarakat ini perlu dilakukan secara berbeza-beza berdasarkan kelompok sosial masyarakat seperti telah dijelaskan empat isu utama yang diklasfikasikan diatas (Gaya Hidup, Akademik, Budaya Sosial dan Kekeluargaan). Kelompok ‘Sakit Sosial’ lebih sesuai didekati dengan dakwah lapangan secara terus. Para pendakwah perlu turun berjumpa mereka di tempat mereka berkumpul kerana tidak mungkin mereka akan datang berjumpa dengan kalian. Disamping itu, proses Islamisasi untuk Kelompok ‘Biasa’ juga perlu diteruskan dengan cara penulisan, kuliah-kuliah dan hebahan media.

Keempat - Proses pembaikan (islah) masyarakat perlu dilaksanakan selepas proses Islamisasi berlaku. Ini bermakna, masyarakat setempat perlu diupayadayakan (capacity building) supaya mereka boleh bergerak sendiri untuk meneruskan proses Islamisasi. Komuniti setempat perlu membina semula nilai-nilai murni masyarakat yang selama ini mungkin telah dilupakan.

Kelima - Proses yang kelima ini merupakan proses akhir yang paling sukar untuk dicapai. Proses yang pertama sehingga ke-empat perlu diperkembangkan ke komuniti-komuniti yang lain sehingga keseluruhan masyarakat memahami Islam dalam erti kata yang sebenar. Setelah itu, proses pembaikan sistem dan hukum mesti dilaksanakan dimana sistem Kapitalis dan Liberal ditukar kepada sistem Islam yang ternyata lebih praktikal.

Kelima-lima proses ini sudah pasti merupakan proses yang sangat panjang dimana kita sendiri mugkin tidak akan sempat menikmati hasilnya tetapi yakinilah dengan usaha yang istiqomah dan pengharapan kepada Allah S.W.T yang tinggi, anak cucu kita akan memperolehi kehidupan yang lebih sempurna.

Sayugia diingat, tugas pendakwah untuk menyampaikan bukan menghalau orang. Ketika Mu’az bin Jabal akan berangkat, hendak menjadi Gabenor di Yaman, Rasululluh s.a.w. telah berpesan kepadanya dengan kata, maksudnya; ”Mudahkanlah, jangan dipersulitkan, gembirakanlah, jangan timbulkan kebencian sehingga orang cabut lari” .

Apabila nampaknya, jalan masih buntu, tidak ada titik pertemuan antara sang da’i dan mad’u, semua ikhtiar telah dilakukan, maka perpisahan harus dilakukan dengan cara yang patut dan pantas.

Firman Allah s.w.t dalan Surah Al-Muzammil, ayat 10:

“Dan Bersabarlah terhadap apa Yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara Yang baik.”

Kendalikan diri dengan sebaik-baiknya, jangan kita sesak nafas, disebabkan kata-kata mereka yang kasar. Berpisahlah dari mereka dengan tingkah laku yang memperlihatkan budi pekerti yang tinggi dan akhlak yang “jamil”, yang indah.

Biarlah kita akhiri temu bual dengan mereka buat seketika, jangan sampai jalan dakwah terputus dan terbantut. Biarkanlah mereka yang memutuskan hubungan ini, bukan yang memetuskan itu si juru dakwah.

“Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.”
(Ali Imran : 159)



Ingatlah kita kepada do’a Rasululluh s.a.w. semasa  baginda di Mina, sewaktu dilempar batu sehingga berdarah kaki baginda:


“Wahai Tuhanku, tunjukilah kaumku ini lantaran mereka, sesungguhnya, tidak tahu apa yang mereka katakan”


Suara jiwa yang demikian itu hanya biasa keluar dari rasa cinta kepada ummat yang sedang dipanggilnya kepada kebenaran; rasa sedih mengenangkan nasib mereka, bila mereka terus dalam kesesatan; rasa cinta yang mendalam kepada Risalah yang sedang dibawanya. Yang akhirnya, bersumber kepada rasa cinta kepada Yang Ampunya Risalah, Al Khaliq, Ar Rahim.

Berkomunikasi dan berintraksi antara pendakwah dengan remaja bermasalah, ada kalanya berhasil dalam waktu yang singkat; ada kalanya memerlukan masa yang panjang dan terkadang bertemu jalan buntu. Memang “Lapangan Dakwah” itu ada batasnya. Pendakwah telah diisyaratkan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran, Surah Yunus, ayat 42-43:


“Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada Yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikitpun sebagai orang pekak); maka Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang Yang pekak itu Mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang Yang tidak mahu memahami perkara Yang didengarnya.”

“Dan di antara mereka pula ada Yang memandang kepada perkara-perkara Yang Engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka Engkau (Wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang Yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang Yang tidak mahu melihat (perkara Yang Engkau tunjukkan itu).”


Yang tuli bukan telinganya, yang buta bukan matanya, tetapi akal dan hatinya yang tuli dan buta. Kemauannya juga sudah beku. Orang tidur mudah dan biasa dibangunkan. Bagaimana pula membangunkan orang yang sudah jaga, tetapi berpura-pura tidur!. Yang penting dalam situasi sebegini, ialah kemampuan pendakwah mengendalikan dirinya, memelihara keseimbangan dan ketengan jiwanya dan menghindarkan pemborosan tenaga dengan sia-sia. Telah ditentukan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran, Surah Al-A’raf, ayat 199:


“Terimalah apa Yang mudah Engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara Yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang Yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”


Memang, ada kalanya berkomunikasi dan berintraksi dengan mereka tidak lancar perjalanannya perlu diisytirehatkan. Jangan membiarkan pendakwah diseret kepada omong-omong kosong yang mungkin segaja untuk menghabiskan tenaganya; atau ingin mencampur adukan yang haq dengan yang batil, yang dinamai “kompromi”.

Bila pendakawah bertemu dengan situasi semacam ini, maka Al-Quran memberikan jalan keluar dalam Surah An-Nisa’, ayat 63:


“Mereka itulah orang-orang Yang diketahui oleh Allah akan apa Yang ada Dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah Engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta Katakanlah kepada mereka kata-kata Yang boleh memberi kesan pada hati mereka.”

Hentikanlah berkomunikasi dan berintraksi bila sudah ternyata, bahawa meneruskannya hanya akan menghabiskan tenaga dan masa dengan sis-sia. Kata perpisahan haruslah, perkataan yang akan sampai menjangkau ke lubuk hati sanubari mereka itu. Jangan tinggalkan kata-kata yang meninggalkan kesan pahit atau jengkel, sehingga terputus, berkerat rotan.


“Dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Al-Fussilat: 33)


“Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”  (al-Ahzab:21)




PENUTUP

Nilai-nilai moral masyarakat timur sedikit demi sedikit telah luntur di dalam masyarakat Malaysia tidak kira bangsa mana pun. Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dan pihak-pihak berwajib kerana keruntuhan nilai moral masyarakat akan membawa kepada malapetaka yang besar dimasa hadapan. Diharapkan, laporan ini dapat memberi sedikit maklumat kepada organisasi-organisasi masyarakat seterusnya membolehkan mereka bergerak dengan kaedah-kaedah yang sesuai dalam komuniti masing-masing untuk membanteras budaya yang terus membarah dalam masyarakat ini.

Usaha yang padu dan sokongan daripada pelbagai pihak amatlah diharapkan bagi memastikan gejala sosial tersebut benar-benar membuahkan hasil. Mudah-mudahan usaha kita hari ini, akan membantu kita mencetak generasi muda yang positf, beriman, bertaqwa, berilmu, beramal soleh dan berkhlak mulia.


Disediakan oleh :

USTAZ KAMARUDDIN BIN KASSIM
PUM WP